Doakan kejayaan Kedah, jatuh bangun pasukan bersama peminatnya — Paktam


  • Podium
  • Rabu, 27 Dis 2023

Datuk Paktam merupakan individu cukup disegani apabila kehadirannya banyak membantu skuad Sang Kenari.

MESKIPUN tidak berada dalam prestasi terbaik beberapa tahun kebelakangan ini, status Kedah Darul Aman (KDA) FC sebagai antara pasukan Liga Super yang digeruni sukar dipadam.

Kelab yang pernah mencipta sejarah dengan membolot tiga gelaran semusim untuk dua tahun berturut-turut itu pernah menjadi fenomena dalam dunia bola sepak tempatan.

Kejayaan berkenaan turut diteruskan pada pertengahan dekad yang lalu dengan beberapa kejayaan diraih, termasuk menjuarai Piala FA 2019 dan Piala Malaysia 2016.

Jadi, tidak salah untuk mengatakan mana-mana lawan pastinya gerun setiap kali bertemu skuad Sang Kenari yang sering dibanjiri pemain berkualiti.

Bagaimanapun, sekiranya ditanya kepada penyokong Hijau Kuning, masing-masing pastinya memasang hasrat untuk melihat pasukan terbabit meraih lebih banyak kejayaan di atas padang.

413979722_860057469455534_1160755217985934451_n

Aminuddin berkongsi sekeping gambar memaparkannya di samping pemain skuad Sang Kenari. Facebook/Dato Paktam

Harapan itu turut dilontarkan bekas Exco Belia dan Sukan Kedah, Datuk Aminuddin Omar yang terus memberikan semangat buat KDA FC meskipun sudah bertahun-tahun tidak mempunyai hubungan terus dengan mereka.

"Antara kenangan yang paling saya rindu adalah ketika menjadi sebahagian daripada kejayaan pasukan Kedah satu masa dahulu.

"Sampai hari ini, saya sentiasa mendoakan agar pasukan Kedah FC terus berjaya. Semoga musim depan pasukan Kedah akan bangkit gah di persada Malaysia, insya-ALLAH," tulisnya.

Kata-kata semangat itu diluahkan Aminuddin menerusi satu hantaran di akaun Facebook Dato Paktam yang merupakan nama cukup sinonim dengannya.

Musim ini, skuad Sang Kenari menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat dengan kedudukan terbabit diharapkan mampu ditambah baik pada tahun-tahun akan datang.

2073736

Aminuddin (kanan) ketika bersama dua legenda Kedah, Rizal Ghazali dan Baddrol Bakhtiar.

Namun, prestasi cemerlang dalam liga itu gagal dipamerkan dalam beberapa pertandingan lain di peringkat domestik apabila mereka ditunjukkan jalan keluar awal daripada Piala FA dan Piala Malaysia.

Dalam pada itu, Aminuddin menegaskan bahawa hantaran terbabit tidaklah bertujuan mewujudkan persaingan antaranya dengan mana-mana individu lain.

"Post ini sebenarnya bukan untuk nak bercerita siapa yang paling handal atau hebat, cuma sekadar kenangan sahaja. Masa kami dengan izin ALLAH ada sedikit kejayaan yang ALLAH bagi untuk kami rasai nikmat-NYA.

"Jadi, ketepikan soal politik, sukan untuk semua. Doakan kejayaan pasukan Kedah, penuhkan stadium untuk menyokong, jatuh bangun Kedah FC bersama peminatnya, insya-ALLAH," tulisnya di ruangan komen.

Datuk Paktam sememangnya figura cukup berpengaruh buat skuad Sang Kenari sepanjang penglibatannya dalam dunia politik berdasarkan hubungannya yang rapat dengan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram