KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengakhiri saingan Liga Super musim 2023 di kedudukan keempat dengan mengutip 53 mata yang hanya dibezakan satu mata dibelakang pasukan ketiga Sabah FC.
Kedudukan tersebut boleh dianggap adalah satu pencapaian yang memuaskan di tahun pertama Nafuzi Zain mengendali Kedah dengan pengendali itu juga dijangka boleh mempertingkatkan lagi prestasi pada saingan tahun depan.
Bagi persiapan musim 2024, skuad Hijau Kuning juga nampaknya akan membuat sedikit rombakan pemain dengan dikhabarkan hampir semua pemain import tahun ini sudah tidak mempunyai kontak bersama Kedah.
Memetik ciapan dari pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam pada platform X, hanya ketua pasukan, Manuel Ott yang masih mempunyai kontrak bersama Kedah dan ini memberi gambaran mengenai persiapan pasukan bagi musim seterusnya.
Hal ini bermaksud, penyerang prolifik Liga M, Ifedayo Olesogun yang menyertai Kedah pada jendela perpindahan Julai lepas difahamkan tidak lagi disambung kontrak lanjutan bersama pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu.
Sepanjang hampir enam bulan membantu mengetuai serangan skuad Hijau Kuning, pemenang kasut emas Liga Super 2021 berkenaan sudah mencetak 12 gol dalam 11 perlawanan Liga Super musim ini.
Ifedayo menjadi satu-satunya pemain dari jendela perpindahan kedua tersenarai dalam penjaring terbanyak musim ini. — Facebook/MFL
Walaupun sudah berstatus ejen bebas, khidmat Ifedayo bagaimanapun semakin kurang menjadi buruan kelab-kelab dalam liga domestik meskipun pemain berusia 32 tahun itu mempunyai reputasi sebagai antara penyerang import terbaik tanah air.
“Berat dia ini, padahal muda empat tahun daripada Ronaldo (Cristiano Ronaldo),” kata penyokong, Feeq Afiq.
“Ambillah siapa nak dia ini,” tambah penyokong, Mat Nor Kedahan.
“Mahallah dia ini,” kata seorang lagi penyokong bola sepak domestik, Rizal Ahmad.
Memiliki tanda harga yang agak mahal difahamkan menjadi bebanan untuk pasukan Liga Super lain mengambil khidmat pemain yang memiliki kerakyatan Bahrain itu walaupun sedia maklum bahawa Ifedayo akan mampu memperkukuhkan bahagian serangan kelab masing-masing.
“Ifedayo mempunyai tanda harga tinggi, pasukan perlu berbelanja banyak untuk mendapatkan bekas penjaring terbanyak Liga Super,” memetik laporan dari Zulhelmi dałam wawancara bersama Nadi Arena.
Untuk rekod, penyerang yang dipanggil sebagai 'King Dayo' dalam kalangan penyokong itu pernah merekodkan 26 jaringan gol bersama Selangor untuk memenangi gelaran Kasut Emas Liga Super pada saingan musim 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram