Dua pengganti ubat patah hati Sri Pahang, Kedah lepas bintang idaman tak jadi sertai kelab


  • Podium
  • Selasa, 26 Dis 2023

Rahadi (kiri) dan Osmar (kanan) kedua-duanya antara pemain yang sebelum ini dikaitkan dengan KDA FC.

JENDELA perpindahan belum bermula namun sudah ada penyokong yang merintih tidak berlagu apabila pemain idaman mereka disahkan membuat pusingan U dengan tidak menyertai pasukan kesayangan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Khabar angin perpindahan pada musim ini bermula sejurus sahaja saingan liga melabuhkan tirainya pada baru-baru ini dan sejak itu, banyak nama pemain sudah mula dikaitkan akan keluar daripada kelab semasa mereka.

Selain daripada nama-nama pemain tempatan, ada juga beberapa bintang bola sepak luar negara singgah memeriahkan khabar angin jendela perpindahan pada musim depan sehingga ramai penyokong mula berharap agar ia akan menjadi kenyataan.

Namun tidak sempat jendela perpindahan dibuka pada Februari ini, sudah ada pengesahan rasmi dari pihak pengurusan yang mengesahkan pemain dikhabarkan itu tidak berada dalam perancangan kelab pada musim depan.

Senario yang menyaksikan para penyokong dilanda kekecewaan itu terjadi kepada pengikut Sri Pahang dan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas pihak pengurusan tampil mengesahkan bahawa pemain idaman iaitu Rahadiazli Rahalim serta Osmar Barbar tidak menyarung jersi mereka pada musim depan.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan dua pemain yang boleh menjadi jalan keluar kepada pihak pengurusan bagi menggantikan pemain idaman penyokong berkenaan;

1) Sikh Izhan gantikan Rahadiazli Rahalim

abe

Rahadi musim ini hanya merekodkan 630 minit dalam aksi Liga Super sepanjang musim dia diturunkan. — Facebook/TFC

Penjaga gol muda Terengganu FC (TFC), Rahadiazli Rahalim dikaitkan dengan dengan Sri Pahang FC dan KDA FC pada musim depan namun Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Mohd Sabri Abas mengatakan sebaliknya.

Mohd Sabri berkata, setakat ini, skuad Penyu tidak merancang untuk melepaskan penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu ke kelab lain dan Rahadi juga masih memiliki kontrak bersama TFC hingga 2025.

Berita yang disahkan sendiri oleh individu tertinggi Terengganu itu memberi kekecewaan kepada penyokong Kedah dan Sri Pahang dan nampaknya pasukan masing-masing perlu mencari alternatif lain menggantikan Rahadi.

ikh izhan

Sikh Izhan difahamkan akan kembali ke pangkuan Selangor pada musim depan. — Facebook/NSFC

Antara pemain dilihat boleh diintai oleh Sri Pahang dan skuad Hijau Kuning ialah penjaga gol pinjaman Selangor FC, Sikh Izhan yang musim ini tampil dengan persembahan cemerlang bersama Negeri Sembilan FC (NSFC).

Selepas penjaga gol berpengalaman Selangor, Khairulazhan Khalid disahkan menyambung kontrak bersama Gergasi Merah, Sikh Izhan nampaknya sekali lagi akan bergelut untuk mencari minit permainan sebagai kesebelasan utama pada musim depan.

Oleh itu, pemain berusia 20 tahun itu boleh mempertimbangkan tawaran ke kelab lain seperti Sri Pahang demi mencari minit permainan dan mengekalkan statusnya sebagai pemain pilihan Kim Pan-gon di skuad kebangsaan.

2) James Okwuosa gantikan Osmar Barbar

osmar

Osmar merupakan ketua pasukan FC Seoul. — Facebook/FC Seoul

Bintang Korean League (K-League), Osmar Barba difahamkan tidak akan menyarung jersi Hijau Kuning pada musim depan selepas pengurus pasukan berkenaan, Zul Fadli Rozi menafikan kehadiran bekas pertahanan FC Seoul tersebut.

"Saya tidak tahu macam mana media Korea Selatan boleh keluarkan berita itu, jadi saya menafikanlah perkara tersebut.

"Saya rasa kami juga tidak mampu untuk mengambil pemain yang bertaraf bintang dalam K-League seperti itu," katanya kepada pemerhati sukan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

james

Okwuosa (kanan) dibawa masuk ke skuad The Cops dengan perpindahan percuma dari kelab Al Qadsia, Kuwait. — Twitter/Okwuosa

Rentetan pengesahan daripada pihak pengurusan Kedah, skuad Hijau Kuning pasti sedang mencari calon pemain pertahanan lain yang jauh lebih murah dan mudah untuk menyesuaikan diri dengan suasana Liga Malaysia.

Pertahanan berusia 32 tahun dari Nigeria, James Okwuosa yang membantu skuad The Cops musim ini antara calon sesuai untuk dirisik oleh skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

Kehadiran pemain berketinggian jelas menstabilkan pasukan selepas berjaya mengawal kemas benteng pertahanan PDRM yang dilihat sukar dibolosi pada pusingan kedua Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram