Demi bola sepak Kelantan, Zamsaham muncul dalam perbincangan meja bulat bersama Hannah Yeoh


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Zamsaham didesak oleh penyokong TRW supaya melepaskan pasukan Kelantan kepada individu lain.

SELEPAS sekian lama mendiamkan diri dalam laman sosial peribadinya, kelibat pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali Zamsaham berjaya dirakamkan lensa kamera Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam majlis Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Kelab & Persatuan Bola Sepak Seluruh Negara pada Selasa.

Majlis yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram itu berlangsung selama dua jam di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ia merupakan inisiatif daripada Hannah Yeoh yang mahu mendengar sendiri cadangan penambahbaikan daripada pemegang-pemegang taruh bola sepak bagi menjadikan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) lebih efisien dan efektif.

Kehadiran Zamsaham dalam majlis itu tidaklah mengejutkan kerana dia merupakan pemilik Kelantan sekali gus menjadi individu yang terlibat secara terus dalam dunia bola sepak negara.

Namun ia pastinya mengejutkan orang ramai terutamanya penyokong Kelantan FC yang masih tertanya-tanya mengenai masa depan The Red Warriors (TRW) tatkala pasukan lain sudah mula dipenuhi dengan khabar angin mengenai perpindahan pemain.

Menerusi gambar yang dikongsikan FAM dalam Facebook itu, Zamsaham yang memakai kot berwarna biru dilihat hadir ke majlis tersebut bersama seorang lagi wakil daripada Kelantan FC.

Zamsaham

Zamsaham (dua dari kanan) menghadiri majlis Sesi Perbincangan Meja Bulat Bersama Kelab & Persatuan Bola Sepak Seluruh Negara pada Selasa.

Kemunculan semula Zamsaham pastinya menjadi penantian seluruh penyokong TRW yang mahukan jawapan berkenaan pelbagai isu sedang melanda pasukan itu.

Daripada isu lesen kebangsaan sehinggalah status pemain-pemain yang keluar pastinya menjadi keutamaan penyokong Kelantan selepas musim ini mereka disajikan dengan prestasi hambar daripada TRW.

Kelantan musim ini menutup tirai Liga Super 2023 dengan kekalahan besar kepada seteru utama, Kelantan United dengan keputusan 2-6 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu lalu.

Kelantan

Kelantan ditewaskan KUFC pada perlawanan akhir Liga Super pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan mengumumkan bahawa Kelantan sudah menghantar dokumen diperlukan untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

Bagaimanapun, segala dokumen diterima masih dalam proses semakan First Instance Body (FIB) dengan bayaran 30 pemain dan staf perlu dilunaskan kelab Pantai Timur berkenaan.

MFL juga perlu mengesahkan kesemua pembayaran dibuat akan melibatkan Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) dalam urusan semakan.

Ia selepas, pihak pengurusan TRW gagal menerima lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super musim depan berikutan isu tunggakan gaji. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram