STADIUM ikonik Selangor, Stadium Shah Alam, dijangka akan dirobohkan dalam masa terdekat bagi membina sebuah lagi stadium yang lebih moden di venue berkenaan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah pun memberikan kebenaran untuk merobohkan stadium keramat The Red Giants itu pada Jumaat lalu, lapor Stadium Astro.
Ketika ditanya bila stadium itu akan dirobohkan, Amirudin memberikan jawapan: "Baru dapat kebenaran MBSA semalam (22 Disember)."
Sebelum ini, tersebar satu tangkap layar di media sosial yang mendedahkan kos pembinaan Stadium Shah Alam yang baru mencecah hingga RM3.28 bilion.
Bagaimanapun, Amirudin pada Ogos lalu menjelaskan angka RM3.28 billion itu hanyalah cadangan daripada pihak pemaju dan kos pembinaan stadium baharu itu masih kekal antara RM800-900 juta seperti yang telah dimaklumkan tahun lalu.
"Mereka mengatakan kos pembinaan stadium mencecah RM3.2 bilion berdasarkan satu tangkap layar. Ini adalah salah! Kos pembinaan stadium baharu masih kekal di antara RM800-900 juta seperti yang saya umumkan pada tahun 2022.
"Angka RM3.2 bilion tersebut merupakan cadangan pemaju bagi membangunkan keseluruhan 70 ekar kawasan sekeliling termasuk pembinaan hotel, teater tertutup, stesen bas dan pusat rekreasi belia," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram