Bintang J League, rakan Dion Cools mampu bantu JDT 'mengaum' di pentas Asia musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 16 Dis 2023

Antara aksi JDT ketika membenam BG Pathum United 4-1 pada perlawanan di SSI baru-baru ini. — Facebook/JDT

PASUKAN gergasi Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT) tidak dapat meneruskan perjuangan ke pusingan 16 Liga Juara-juara Asia (ACL) selepas ditunjukkan jalan keluar susulan dimalukan dengan kekalahan 0-5 oleh Kawasaki Frontale.

Walaupun begitu, Harimau Selatan menutup cerita saingan ACL dengan kemenangan selepas membenam BG Pathum United 4-1 pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri baru-baru ini.

Kemenangan tersebut juga sekali gus menyaksikan juara Piala Malaysia tersebut menamatkan saingan Kumpulan I di tangga ketiga, di belakang Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai dengan jumlah keseluruhan sembilan mata.

Sejak menyertai kejohanan ACL secara rasminya pada musim 2019, pencapaian tertinggi juara bertahan Liga Super 10 kali berturut-turut itu adalah pada tahun lepas yang menyaksika JDT berhasil lolos ke pusingan 16.

JDT 16

Aksi JDT ketika pusingan 16 ACL menentang Urawa Red Diamonds. Facebook/JDT

Ketika di bawah kendalian Hector Bidoglio, JDT tersingkir daripada saingan tertinggi Asia itu dengan kekalahan besar iaitu tewas 0-5 kepada juara dua kali dari Jepun, Urawa Red Diamonds di Stadium Saitama 2002 di Jepun.

Musim depan, Harimau Selatan akan berdepan ujian lebih getir iaitu tampil dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) yang pastinya memerlukan persiapan lebih mantap dan penambahbaikan di beberapa posisi.

Melihat kepada sudut pandang penyokong bola sepak tanah air, terdapat dua posisi yang disifatkan boleh menjadi 'pembunuh' kepada angan-angan JDT bersinar dalam saingan ACLE dan kelompangan tersebut perlu diperbaiki.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan dua posisi yang perlu ditambah baik untuk lebih garang di pentas Asia pada musim depan;

1) Bek kiri

OSCAR

Arribas (kiri) menyertai JDT pada awal musim ini. Facebook/JDT

Antara kepincangan yang perlu diperbaiki JDT adalah jentera pertahanan mereka kerana musim ini sahaja, gawang Harimau Selatan dibolosi sebanyak 13 gol dalam enam perlawanan peringkat kumpulan dengan kekalahan terbesar 0-5 di tangan Kawasaki Frontale.

Posisi bek kiri bagaimanapun antara yang dianggap paling menggetirkan Harimau Selatan kerana dianggap kekurangan pemain untuk menjadi pelapis Corbin Ong boleh menjadi duri dalam daging JDT pada musim depan.

Oscar Arribas pada awalnya dibawa untuk menjadi pelapis Corbin namun pemain berusia 25 tahun itu semakin lama kurang memberikan impak dan akhirnya bintang naturalisasi negara kembali mendominasi posisi berkenaan.

Walaupun Arribas beraksi dengan cemerlang di peringkat Liga Super dengan tampil dalam 18 perlawanan namun di saingan ACL, pemain kacukan Sepanyol-Filipina itu hanya diturunkan dalam tiga perlawanan.

SASALAK

Sasalak pernah menyertai Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan K League 1. Agensi

Sementara itu, Corbin yang menyertai JDT sejak 2018 kekal konsisten dalam persembahannya dan pemain berusia 32 tahun berkenaan menjadi watak utama dalam lima aksi ACL dan 20 perlawanan Liga Super untuk musim ini.

Untuk tampil lebih garang dan bagi mengurangkan beban kepada Corbin sekiranya terlalu keletihan, JDT boleh mempertimbangkan untuk membawa masuk seorang lagi bek kiri berkualiti seperti bintang Thailand, Sasalak Haiprakhon.

Pengalaman rakan sekumpulan Dion Cools bersama Jeonbuk Hyundai Motors dalam saingan K League 1 pada musim 2021 mungkin boleh digunakan JDT untuk memberi saingan kepada pasukan gergasi Korea Selatan dalam ACLE musim depan.

Selain pengalaman beraksi di Jeonbuk, kontrak bek kiri Buriram United itu juga semakin menemui penghujungnya apabila hubungan Sasalak dan juara Liga Thai itu difahamkan akan berakhir pada Jun 2024.

2) Baiki tengah menyerang

leandro

Velazquez kini dalam proses pemulihan selepas kecederaan. Facebook/JDT

Selain bek kiri, posisi tengah yang berfokus pada tengah menyerang juga antara bahagian perlu mendapat tumpuan lebih dan salah satu sebabnya adalah kerana kekurangan pemain di bahagian berkenaan.

Posisi attacking midfield pada asalnya dipikul oleh pemain kelahiran Argentina, Leandro Velazquez namun pemain berusia 34 tahun itu kini berada dalam keadaan yang kurang mengizinkan untuk beraksi sebagai tonggak utama.

Leandro ditimpa masalah kecederaa dan melihat kepada statistik perlawanan Liga Super JDT, Leandro sudah tidak diturunkan dalam tiga aksi iaitu ketika menentang Sabah FC, Perak FC dan juga Kedah Darul Aman (KDA FC) pada 26 Ogos lalu.

junker

Junker pernah membolosi gawang gol JDT ketika menewaskan Harimau Selatan dengan keputusan 5-0 pada 19 Ogos 2022. Facebook/JDT

Pemain tengah menyerang kedua pula iaitu Takahiro Kunimoto yang tiba pada jendela perpindahan Julai lepas turut menjadi bualan dalam kalangan penyokong selepas dia dikatakan beraksi 'hambar'.

Bersama Harimau Selatan, pemain dari Jepun itu tidak memenuhi jangkaan penyokong kerana hanya menjaringkan dua gol dan satu dua hantaran dalam enam penampilan termasuk dua aksi Piala Malaysia.

Oleh itu, pemain Nagoya Grampus, Kasper Junker boleh menjadi pilihan ideal kerana mempunyai pengalaman luas di Eropah dan Jepun dengan beraksi bersama beberapa pasukan gergasi seperti Randers FC, FK Bodo/Glimt dan Urawa Reds Diamond.

Fakta menarik mengenai Junker, pemain berusia 29 tahun berkenaan juga pernah merekodkan jaringan ke atas Harimau Selatan dalam perlawanan pusingan ke-16 ACL pada musim lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram