PENYINGKIRAN Manchester United daripada saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) memberi imej buruk terhadap reputasi kelab tersebut musim ini.
Mereka yang hanya meraih empat mata selepas enam perlawanan menduduki tangga tercorot Kumpulan A, sekali gus menamatkan episod mereka di pentas Eropah musim ini.
Prestasi tidak menentu itu juga disaksikan di peringkat domestik apabila skuad The Red Devils kini berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 16 perlawanan.
Sekiranya mereka gagal mempamerkan konsistensi di atas padang, terdapat kemungkinan mereka tidak akan menempah tiket untuk beraksi di Eropah musim depan.
Jadi, dalam usaha mengelak situasi terbabit berlaku, penyokong mula mendesak supaya pihak pengurusan kelab menggugurkan pengurus, Erik ten Hag.
Zidane sudah bertahun-tahun dikaitkan sebagai pengurus Manchester United. — Agensi
Dia yang dilantik pada musim 2022 dilihat gagal menerapkan falsafah bola sepak terbaik dalam pasukan yang terus bergelut meskipun pelaburan besar dibuat ketika jendela perpindahan.
Harapan berkenaan turut diluahkan beberapa agensi media antarabangsa yang mula menyenaraikan beberapa calon terbaik sekiranya jurulatih kelahiran Belanda itu digugurkan.
Antara nama yang dipetik ialah bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane yang pernah menempa nama selepas membantu kelab Sepanyol itu menjuarai UCL sebanyak tiga kali berturut-turut bermula 2016.
Seorang lagi bekas jurulatih skuad Los Blancos, Julen Lopategui juga berada dalam senarai dengan dia tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan selepas meninggalkan Wolverhampton Wanderers awal musim lalu.
Bagaimanapun, pengurus kelahiran England, Graham Potter boleh dianggap sebagai calon terhangat selepas laporan menyebut dia sudah bertemu Sir Jim Ratcliffe yang sedang dalam usaha membeli saham minoriti Manchester United.
Potter tidak mengendalikan mana-mana pasukan selepas dipecat Chelsea musim lalu. — Agensi
Jurulatih berusia 48 tahun terbabit pernah menjadi salah seorang pengurus muda terbaik selepas membawa kelab kerdil EPL, Brighton & Hove Albion secara konsisten selama tiga musim.
Namun, kariernya berdepan liku-liku tersendiri semasa tempoh singkat bersama Chelsea sehingga menyaksikannya digugurkan jawatan selepas hanya beberapa bulan.
Sementara itu, pengurus semasa Brighton, Roberto de Zerbi turut disebut-sebut di media sosial, namun dia dilihat lebih tertarik untuk kekal bersama skuad The Seagulls yang terus memberikan saingan di EPL dan Liga Europa UEFA musim ini.
Sehingga kini, kedudukan ten Hag bersama Manchester United terus goyah meskipun beberapa pihak masih berharap untuknya kekal memandangkan tempoh kejurulatihannya di kelab itu belum mencecah tahun kedua. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram