LEGENDA import Sri Pahang, Zesh Rahman membuktikan bahawa kesibukan sebagai jurulatih tidak menghalangnya daripada memiliki segulung ijazah ataupun kelayakan akademik di usia yang agak lanjut jika dibandingkan dengan pelajar universiti lain.
Menerusi media sosial peribadi di laman X, pembantu jurulatih kelab Inggeris, Portsmouth FC berkenaan berkongsi video detik gembiranya menerima segulung ijazah pada majlis graduasi University of Liverpool, Liverpool, United Kingdom pada Rabu.
Lebih mengagumkan apabila Rahman yang sudah menjangkau usia 40 tahun itu juga cemerlang dalam pengajiannya dengan menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama dalam kos Pengurusan Bola Sepak.
“Gembira kerana telah menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Pengurusan Bola Sepak dari Universiti Liverpool. Sentiasa menambaik baik dan pembelajaran akan berterusan dan tidak pernah berhenti. Terima kasih atas sokongan semua,” tulisnya pada ciapan berkenan.
Selain daripada kenangan manis menyarung jubah konvokesyen dan membawa pulang segulung ijazah, momen pemain kelahiran England-Pakistan itu dilantik sebagai pembantu jurulatih interim buat skuad utama Portsmouth pada Januari lalu juga antara kejayaannya pada tahun ini.
Rahman (dua dari kanan) ketika bersama pemain Portsmouth. — Instagram/Zesh Rahman
Kenaikan pangkat ke skuad utama Portsmouth adalah setahun selepas bek tengah itu berhasil memberi impak positif ketika memegang jawatan sebagai ketua jurulatih akademi kelab berkenaan pada Jun 2022.
Untuk rekod, sebelum Rahman menjadi staf kejurulatihan kelab divisyen ketiga England tersebut, bekas pemain Fulham itu pernah mendapatkan pengalaman sebagai jurulatih ketika beraksi sebagai pemain Southern iaitu pasukan yang bersaing di Hong Kong Premier League pada musim 2020.
Rahman pernah meraih beberapa pencapaian sebagai pengendali Southern dan antaranya yang diingati apabila membantu kelab itu di kedudukan teratas liga sebelum ia akhirnya dibatalkan akibat penularan wabak Covid-19.
Nama Rahman pasti masih segar dalam ingatan penyokong Tok Gajah kerana Rahman merupakan antara import yang membantu Pahang menjulang beberapa kejuaraan antaranya Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sepanjang tiga musim bersama kelab Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram