PADA Sabtu, dunia bola sepak England dikejutkan dengan insiden yang hampir meragut nyawa seorang pemain pasukan Luton Town, Tom Lockyer selepas rebah di atas padang sehingga`meyebabkan perlawanan menentang AFC Bournemouth terpaksa ditangguhkan.
Aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan kedua-dua pasukan terbabit terpaksa dihentikan di pertengahan separuh masa kedua selepas terikat 1-1 bagi memberi laluan kepada Lockyer menerima rawatan susulan sebelum dibawa keluar dari padang akibat serangan jantung.
Namun, nasib menyebelahi Lockyer apabila dia bertindak balas semasa dibawa ke atas pengusung sebelum dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Tetapi adakah anda tahu, lapan tahun lalu bola sepak Malaysia juga pernah mengalami insiden sama membabitkan bekas pemain import T-Team, David Faramola Oniya yang meninggal dunia ketika beraksi semasa perlawanan persahabatan menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 13 Jun 2015.
Dalam aksi perlawanan persahabatan itu, mendiang David Faramola secara tiba-tiba jatuh pada minit ketiga perlawanan dan dibawa oleh pasukan paramedik untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kelantan.
Bagaimanapun kira-kira pukul 10.05 malam pada hari kejadian, pemain pertahanan pasukan itu disahkan meninggal dunia selepas beberapa kali menerima rawatan dan tidak lama kemudian, perlawanan persahabatan itu dihentikan pada minit ke-60 oleh pengadil Ku Alauddin Ku Muhammad sebaik mendapat tahu mengenai berita kematian pemain itu.
Ahli keluarga mendiang memutuskan tidak akan membawa pulang mayat kapten pasukan T-Team ke Lagos, Nigeria dan sebaliknya memilih Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan sebagai lokasi pengebumian.
Keputusan tersebut diambil berikutan pantang larang budaya mereka untuk orang tua tidak boleh melihat mayat orang muda termasuk urusan pengebumian.
Untuk rekod,sebelum menyarung jersi pasukan T-Team pada 2015, Oniya pernah bermain bersama kelab Neftchi FK (Fergana) dalam liga Uzbekistan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram