'Tempoh persiapan cukup panjang, kelab Liga Super jangan buat kerja minit akhir'


  • Podium
  • Ahad, 24 Dis 2023

Pekan Ramli berasakan perubahan jadual dan perancangan MFL membawa impak negatif dan positif buat landskap bola sepak tempatan.

SELEPAS bertahun-tahun menggunakan format yang sama, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akhirnya membuat keputusan membuat sedikit perbezaan buat saingan musim depan.

Perubahan yang menyaksikan aksi Liga Super bermula pada Mei 2024 itu merupakan satu kelainan berbanding tahun-tahun kebelakangan ini.

Tidak cukup dengan itu, saingan bola sepak tanah air dijadualkan akan tamat pada April 2025 dengan ia merupakan satu tempoh lebih panjang untuk kesemua pasukan.

Keputusan tersebut menimbulkan pelbagai respons dengan ada yang berpendapat langkah terbabit hanya akan memberi tekanan lebih hebat terhadap struktur kewangan kelab-kelab Liga Super.

Bukan itu sahaja, ramai juga mempertikaikan permulaan lewat itu dengan memberi alasan tahap kecergasan pemain akan terjejas.

jadwal-drawing-piala-asia-2023-berada-di-pot-4-timnas-indonesia-bakal-hadapi-tim-tim-kuat-pK6t6k4WxU

Penyertaan negara dalam Piala Asia 2023 memberi kesan terhadap jadual baharu Liga Super 2024/25.

Meskipun beberapa aksi persahabatan masih boleh dirancang pasukan masing-masing, penyertaan skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menjadi asbab di sebalik respons negatif itu.

Tetapi, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, perubahan berkenaan bakal membawakan manfaat tersendiri buat kesemua pasukan Liga Super.

"Saya rasa keputusan MFL itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek positif dan negatif. Perkara positif itu seperti mana saya difahamkan adalah untuk persiapan pasukan kebangsaan.

"Di samping itu, mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mempersiapkan pasukan sebelum sepak mula musim depan kerana jika kita lihat tempoh rehat, ia merupakan tempoh yang agak panjang," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, perubahan kali ini menyaksikan waktu rehat antara musim lebih lama berbanding sebelum ini dengan pasukan secara kasarnya hanya diberikan tempoh dua bulan untuk membuat perancangan.

Situasi itu bakal menyaksikan beberapa kelab bergelut dalam memilih pemain terbaik, sekali gus membuatkan mutu dan imej masing-masing terjejas.

411286097_369192952327753_3556961406988143629_n

Persiapan terbaik perlu dibuat pasukan untuk memastikan pemain berada di tahap kecergasan terbaik. Facebook/Perak FC

Bagaimanapun, tambah Pekan lagi, tempoh diberikan MFL perlu dimanfaatkan kesemua pihak sebaik mungkin supaya isu kelewatan membuat persiapan tidak lagi berulang.

"Walaupun pasukan dapat melakukan persiapan dengan lebih rapi, jangan pula ada yang tidak membuat perubahan dengan melaksanakan perancangan pada minit akhir.

"Kesannya, mereka tidak akan dapat menyediakan pasukan yang mantap. Jadi, penyusunan semula jadual ini perlu dimanfaatkan pihak pengurusan," tegasnya lagi.

Selain melakukan aktiviti perpindahan pemain, tempoh pramusim memberikan peluang buat pasukan mengadakan aksi persahabatan dengan kelab di dalam mahupun di luar negara.

Perlawanan berkenaan bakal memberikan idea awal terhadap barisan kejurulatihan untuk mencari kelemahan pasukan, sekali gus memberikan mereka tempoh untuk mendapatkan solusi terbaik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram