Kalendar baharu musim depan keputusan baik buat semua kelab — Kim Swee


  • Podium
  • Sabtu, 23 Dis 2023

Kim Swee berpendapat terdapat pelbagai perancangan mampu dibuat sebelum kempen Liga Super 2024/25 bermula. — Facebook/Sabah FC

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap tempoh masa yang ada sebelum sepak mula Liga Malaysia 2024/25 relevan untuknya persiapkan pasukan yang akan memulakan latihan pada awal Januari depan.

Skuad Sang Badak yang bakal meneruskan kempen Piala AFC peringkat separuh akhir Zon Asean pada 13 atau 14 Februari akan datang pastinya akan berdepan jadual padat untuk mereka melakukan persediaan dengan lebih awal.

Justeru, bagi Kim Swee, kalendar baharu liga musim depan adalah keputusan baik untuk semua kelab apatah lagi Sabah FC juga mempunyai beberapa pemain yang turut sama akan terlibat dengan skuad kebangsaan bagi Piala Asia di Qatar selain Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Situasi yang berbeza bagi Sabah FC di mana kita akan memulakan pramusim latihan seawal bulan Januari 2024 sebab kita akan beraksi dalam separuh akhir Piala AFC.

“Dan berkemungkinan kita juga akan menghadapi dua pramusim yang mana kita tahu akan ada pemain-pemain kebangsaan kita turut menghadapi latihan dan selepas itu akan ada Piala Asia di Qatar pula.

sabah-football-club

Skuad Sang Badak masih bersaing dalam kempen Piala AFC musim ini.

“Jadi, selepas itu pemain akan kembali semula ke Sabah dan sudah tentu tempoh jurang masa antara Mac dan Mei itu akan beri sedikit masa kepada mereka untuk berehat”, jelasnya.

Dalam masa sama, pengendali dari Melaka itu juga akan menggunakan ruang yang ada untuk mengendalikan program latihan yang lebih tersusun terutamanya dalam membentuk kombinasi yang lebih baik antara pemain sebelum sepak mula liga.

Kim Swee sedar tempoh masa yang agak lama untuk menanti aksi pembukaan Liga Malaysia pada 3-5 Mei depan, tetapi baginya, inilah peluang terbaik yang ada untuk Liga Malaysia terus berkembang dan selaras bagi musim-musim akan datang dengan perubahan ini.

“Sebenarnya banyak program yang boleh kita buat dalam tempoh itu terutamanya daripada segi kombinasi pemain dan saya merasakan ini adalah satu keputusan yang baik untuk semua pasukan.

2402792

Pasukan negara bakal berentap dalam saingan Piala Asia bermula pertengahan Januari depan. Facebook/FAM

“Walaupun kita tahu tempoh yang agak lama untuk tunggu sepak mula tetapi inilah yang kita perlu lakukan supaya boleh lihat penyelarasan yang lebih baik untuk liga ini pada musim-musim akan datang”, katanya.

Terdahulu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan musim baharu Liga Malaysia akan bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025.

MFL terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor.

Antaranya, penglibatan pemain-pemain kelab Liga Malaysia bersama skuad senior kebangsaan, skuad Bawah 23 tahun negara (B-23), penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram