Tarikh sepak mula Liga Super 2024 ditentukan seminggu lagi — CEO MFL


  • Podium
  • Khamis, 21 Dis 2023

Stuart akan mengambil kira pandangan daripada kesemua 14 pasukan Liga Super untuk musim depan.

SEBELUM ini, laporan media tempatan mengatakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bakal membuat perubahan baharu terhadap kalendar dan format liga musim depan.

Antara rancangan yang pernah diumumkan badan induk bola sepak negara itu adalah dengan menjalankan saingan Liga Super bermula pertengahan tahun depan dan berakhir pada awal 2025.

Perubahan terbabit dibuat dalam usaha menyeragamkan kalender divisyen teratas bola sepak tanah air berdasarkan liga-liga sekitar rantau Asia Tenggara.

Cadangan berkenaan sememangnya disokong ramai apabila mereka berasakan jadual itu akan membolehkan pemain berada di tahap kecergasan terbaik sepanjang musim berlangsung.

Bagaimanapun, kelewatan MFL dalam mengumumkan tarikh sepak mula Liga Super menimbulkan rasa kurang senang apabila pihak kejurulatihan kelab perlu melakukan perancangan lebih awal.

2401900

Pemain akan mudah mengalami kecederaan sekiranya tidak menerima tempoh rehat secukupnya.

Kegusaran itu pernah diluahkan pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad yang mahu badan induk bola sepak negara terbabit untuk membuat keputusan lebih awal.

Namun, dalam menjawab hal berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan satu tarikh akhir akan diputuskan dalam masa terdekat.

"Kami tidak mahu penjadualan kami menjadi teori kepada kecederaan (berlaku) ke atas pemain, ketidaksediaan pasukan dan pemain.

"Dalam tempoh lima ke enam hari, kami akan selesaikan kajian dan dapatkan pendapat berbeza daripada pasukan-pasukan," katanya menerusi Nadi Arena pada Khamis.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan saingan Liga Super bakal bermula pada April untuk memberi ruang kepada skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia 2023.

Rehat mencukupi akan membantu mereka mengelakkan risiko daripada mengalami kecederaan serius mahupun isu kecergasan sepanjang musim berlangsung.

"Dan soalan itu akan kembali kepada MSL (kerana kalau) hari ini kami tentukan tarikh tapi esok kami kena jawab pasal kecederaan.

"Ini juga berlaku musim lalu, pada penghujung musim kami mengambil masa seminggu (untuk jadual) musim baru dan tarikh perpindahan juga akan dikeluarkan dalam masa sama," katanya. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram