Mula bulan Mei, jadual liga musim depan diramal beri impak buat Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Harimau Malaya berjaya membawa pulang tiga mata berharga dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

PADA Jumaat, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa musim Liga Malaysia (Liga M) akan bermula pada 3 Mei 2024 hingga April 2025 selari dengan transisi mengikut format kalendar Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut MFL, mereka terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga M sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya penglibatan pemain-pemain kelab Liga M bersama skuad senior kebangsaan, skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23) dan penyertaan kelab di Piala AFC 2023.

Selepas Liga M melabuhkan tirai pada 17 Disember 2023, pemain-pemain Harimau Malaya akan melaporkan diri ke kem latihan pusat pada 26 Disember 2023 sebelum mengharungi Kejohanan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar pada 12 Januari 2024 hingga 10 Februari 2024.

Kemudian tugasan skuad Harimau Malaya akan diteruskan dengan perlawanan Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac 2024.

Stuart Ramalingam

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa musim Liga M akan bermula pada 3 Mei 2024 hingga April 2025. — Agensi

Selain itu, Sabah FC juga bakal meneruskan kempen Piala AFC peringkat separuh akhir Zon Asean pada 13 atau 14 Februari 2024 serta penglibatan pemain muda kelab-kelab Liga M bersama Skuad B-23 negara di pusingan akhir Piala Asia B-23 Doha, Qatar bermula pada 15 April 2024 sehingga 3 Mei 2024.

Dengan beberapa tugasan antarabangsa pada awal tahun ini khususnya melibatkan skuad Harimau Malaya dan Skuad B-23, MFL juga mengambil kira kekangan masa pasukan-pasukan dalam membuat persiapan menjelang musim baharu liga 2024/2025 berikutan sambutan Ramadan daripada awal Mac 2024 dan perayaan Aidilfitri dijangka pada 10 atau 11 April 2024.

Justeru dengan mengambil kira segala faktor ini, MFL percaya tarikh yang telah ditetapkan ini adalah tarikh yang sesuai untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/2025.

MFL turut memaklumkan musim baharu saingan Piala MFL akan bermula pada 13 Mei 2024 manakala tarikh pendaftaran pemain ‘transfer window’ Liga Malaysia 2024/2025 akan bermula pada 3 Februari sehingga 26 April 2024.

Susulan pengumuman tersebut, ada sebahagian penyokong setia tanah air yang berasakan jadual Liga M musim depan dilihat akan merencatkan corak permainan barisan pemain Harimau Malaya.

Malah, kekurangan minit permainan juga dilihat akan mengganggu prestasi semasa skuad kebangsaan.

"Harap pemain-pemain Malaysia fit untuk kelayakan Piala Dunia nanti," kata Muhammad Syakirx.

"Bulan Mac kelayakan tapi player dah tiga bulan tak main bola untuk club level, confirm tak fit. Agak-agak macam manalah pemilihan player nanti," kata Hilmi Najib.

"Nampah dah tak fit ni, tiada minit permainan, tiada stamina," kata Mazlan_. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram