FAM terima lebih RM35 juta daripada FIFA melalui Program Pembangunan FIFA Forward


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) bersama-sama Presiden FIFA, Gianni Infantino (kiri).

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima kira-kira RM35 juta (AS$7.6 juta) daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi Program Pembangunan FIFA Forward dari 2016 hingga 2022.

Menurut laporan FIFA Forward Global mengenai aktiviti pembangunan yang dikeluarkan badan induk bola sepak dunia itu pada Jumaat, ia berjumlah 78.6 peratus daripada jumlah keseluruhan lebih RM45 juta (AS$9.9 juta) bagi Malaysia.

Laporan itu menyatakan, kira-kira RM11 juta (AS$2.5 juta) dibelanjakan untuk pentadbiran dan tadbir urus manakala lebih RM7 juta (AS$1.6 juta) disalurkan untuk infrastruktur dan RM6 juta (AS$1.3 juta) bagi pertandingan dalam dua kitaran pertama program antara 2016-2022.

Inisiatif bola sepak wanita menerima kira-kira RM3 juta (AS$0.7 juta) diikuti perbelanjaan operasi bola sepak yang tidak digunakan/bola sepak RM3 juta (AS$0.7 juta), pembangunan kapasiti lebih RM1 juta (AS$0.4 juta), peralatan dan lain-lain RM93,000 (AS$0.2 juta) dan pasukan kebangsaan RM93,000 (US$0.2 juta).

"FAM menjalin kerjasama dengan Program FIFA Forward memastikan pemain bola sepak negara mendapat kemudahan latihan terbaik di ibu pejabat FAM (Wisma FAM). Lebih AS$560,000 dana FIFA Forward telah digunakan untuk pemasangan padang rumput, menaik taraf lampu limpah dan menyediakan bangku untuk pemain dan pegawai.

"Kerja-kerja ini bermula pada 2019 dan siap tepat pada masanya untuk pasukan B-15 lelaki Malaysia menguji permukaan rumput baharu pada Julai tahun itu serta lampu pencahayaan tinggi juga telah siap,” menurut laporan berkenaan.

FIFA berkata, ia telah meluluskan lapan projek di Malaysia dengan lebih RM9 juta (AS$2.1 juta) dibelanjakan.

Menurut laporan itu, FIFA menetapkan kira-kira RM12 bilion (AS$2.8 bilion) pelaburan dalam 211 persatuan anggotanya serta dalam konfederasi dan pelbagai persatuan zon/serantau, untuk meningkatkan pembangunan bola sepak di wilayah mereka di bawah program yang dilancarkan pada Mei 2016.

Kitaran seterusnya yang dikenali sebagai Forward 3.0 akan bermula Januari 2024 apabila FIFA berjanji untuk menyediakan sehingga RM37 juta (AS$8 juta) bagi setiap kitaran empat tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram