PERSIAPAN untuk musim baharu Liga Super sudah dimulakan oleh kesemua pasukan termasuklah Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Sang Kenari mungkin mengalami musim yang agak suram, terlepas peluang ke Asia sambil ditolak jatuh oleh Sabah FC dalam perebutan tempat ketiga hinggakan mereka menamatkan liga di kedudukan keempat.
Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat KDA untuk terus mencabar musim depan dengan Nafuzi Zain sudah melakukan gerak kerja awal menguatkan pasukan.
Antara gerak kerja awal tersebut adalah dengan mendapatkan pemain import baharu. Usaha Sang Kenari untuk mendapatkan pemain baharu telah mendapat perhatian sehingga ke Korea Selatan.
Hal ini kerana, KDA dalam usaha untuk mendapatkan pemain bernama Osmar Barba dari kelab FC Seoul dan ia mendapat perhatian media di sana.
Perpindahan Osmar ke Malaysia mendapat perhatian di Korea Selatan. — X (Twitter)/Korea Football News
Menurut laman Sports Chosun, Osmar dikatakan sudah bersedia untuk menamatkan hubungan 10 tahunnya bersama-sama Seoul dan berhijrah ke Malaysia.
Semua itu berpunca daripada keputusan Seoul sendiri yang tidak mahu menyambung kontrak pemain tersebut yang tamat pada akhir tahun ini.
Melihat kepada situasi tersebut, KDA terus laju mengambil langkah dan mendapatkan Osmar bagi menguatkan bahagian pertahanan tengah. Lebih menarik, Osmar juga boleh beraksi di posisi pemain tengah bertahanan.
Pemergian Osmar ke KDA turut telah disahkan oleh laman bola sepak Transfermarkt, apabila di profil pemain tersebut telah bertanda "to leave" atau dalam proses meninggalkan pasukan semasa iaitu Seoul.
Osmar beraksi untuk FC Seoul selama 10 tahun. — Agensi
Kisah antara Osmar dengan Sang Kenari sebenarnya sudah bermula sejak dari tahun 2020 lagi apabila KDA menjadi wakil Malaysia dalam saingan saringan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Ketika KDA dan Seoul bertemu untuk slot peringkat kumpulan ACL, Osmar merupakan sebahagian daripada kesebelasan utama kelab Korea Selatan itu yang menang 4-1 pada waktu tersebut.
Malah, Osmar telah 'menjaringkan gol sulung' untuk KDA sebelum dia menyertai kelab tersebut apabila tertanduk bola ke gawang sendiri hasil sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar.
Mungkin selepas ini, Osmar boleh mula menjaringkan gol dengan kerap buat KDA dan mencipta nama dalam kalangan penyokong Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram