PEMAIN Terengganu FC II (TFC II), Isa Raman mengakui yang dirinya masih lagi berharap agar masanya bersama-sama pasukan tersebut dapat disambung semula walaupun sudah terputus buat masa sekarang.
Sebelum ini, wira Piala MFL bagi TFC II itu telah mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan tersebut selepas tujuh tahun bersama-sama mereka di peringkat remaja.
Isa mengatakan sehingga hari ini pihak TFC masih lagi tidak memberikan sebarang jawapan sama ada kontraknya disambung atau tidak hinggakan sudah melepasi tarikh luput perjanjian antara dua pihak.
"Habis sahaja perlawanan akhir Piala MFL, saya tak dapat apa-apa tawaran dari pihak TFC. Dalam kontrak, mereka akan beritahu saya tiga bulan lebih awal sama ada kontrak disambung atau tidak tetapi TFC hanya berdiam diri.
"Kontrak saya sudah tamat 25 November yang lalu. Buat masa ni, saya belum menerima apa apa makluman berkenaan kontrak sama ada disambung atau tidak," kata Isa kepada Majoriti.
Isa akan sentiasa dikenang dalam sejarah bola sepak Terengganu apabila gol minit akhirnya pada aksi final Piala MFL menentang Johor Darul Takzim II (JDT II) telah menjadikan TFC II juara sulung kejohanan tersebut.
Kini tidak mempunyai kelab, Isa mengakui yang dirinya sedang menimbang beberapa pilihan iaitu berhijrah ke pasukan lain sambil menanti jika TFC ada hadir datang memberikan kontrak lanjutan.
"Setakat ini ada (pasukan lain melamar). Setakat ini, saya hanya menanti bantuan daripada ejen saya.
"Saya serahkan sepenuhnya kepercayaan kepada ejen saya (mengenai perpindahan)," jelas Isa.
Isa (paling depan) melakukan 18 penampilan untuk TFC II musim ini. — Facebook/Terengganu FC II
Walaupun masanya bersama-sama TFC II telah berakhir, Isa mengakui dirinya gembira dapat menamatkannya dengan nota kegembiraan.
Dia mengakui kejayaan meraih Piala MFL adalah salah satu daripada detik terindah dalam karier pemain berusia 23 tahun itu.
"Sejujurnya, ia adalah kenangan yang paling manis sepanjang karier saya. Tambahan pula ia merupakan perlawanan terakhir saya bersama TFC II malah kami dinobatkan sebagai Juara Piala MFL buat julung kalinya.
"Nak kata hero itu tidaklah, kerana tanpa didikan Hairuddin Omar, doa dari kedua orang tua & isteri saya maka terhasillah jaringan gol di minit akhir tersebut," ujar Isa.
Isa telah melakukan 18 penampilan bersama-sama TFC II dalam Piala MFL dengan menjaringkan tiga gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram