Berang trofi cuma sebesar tapak tangan, TMJ pernah bertitah semua penyedia trofi ABK patut letak jawatan


  • Podium
  • Khamis, 21 Dis 2023

Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim.

LIGA bola sepak Malaysia secara rasmi sudah pun melabuhkan tirainya pada hujung minggu lalu dengan kita menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) dinobatkan sebagai juara kali ke-10 Liga Super musim ini.

JDT juga berjaya merangkul ke semua trofi kejohanan domestik sekali gus menyaksikan mereka menjadi pasukan ‘double treble’ selepas merekodkan pencapaian sama musim lalu.

Manakala, skuad Gergasi Merah berjaya kembali ke pentas Asia buat kali pertama selepas lapan tahun.

Dengan kalendar bola sepak secara rasmi melabuhkan tirainya, pemain pastinya ternanti-nantikan Anugerah Sukan Bola Sepak Kebangsaan (ABK) yang mengiktiraf segala pencapaian mereka sepanjang musim.

Arif Aiman MVP

Arif Aiman menggondol gelaran Pemain Muda Terbaik, Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Pada edisi tahun lalu, JDT mendominasi kategori pemenang anugerah yang dipertandingkan dengan Arif Aiman Hanapi menggondol gelaran Pemain Muda Terbaik, Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).

Manakala bintang Brazil mereka, Bergson da Silva pula menggondol anugerah Penjaring Gol Terbanyak Import Liga Super dan Pemain Import Terbaik. JDT turut meraih anugerah Pasukan Terbaik Liga Malaysia musim ini.

Ketua jurulatih Kedah, Nafuzi Zain pula dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik berikutan pencapaiannya bersama Terengganu musim lalu.

Gol jarak jauh Mukhairi Ajmal Mahadi untuk Selangor pula diiktiraf sebagai Gol Terbaik Liga Malaysia 2022.

Namun adakah anda tahu, lima tahun lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pernah mengarahkan pihak terlibat menyediakan trofi ABK 2018 agar meletak jawatan serta-merta.

Ia gara-gara sikap pihak terlibat yang dilihat sengaja menyediakan anugerah Kasut Emas pada anugerah itu dengan hanya bersaiz sebesar tapak tangan.

Trofi ABK 2018

Trofi anugerah Kasut Emas ABK 2018.

Malah, TMJ menganggap trofi tersebut seperti kasut maniatur Cinderella yang tidak sewajarnya untuk dianugerahkan kepada pemain bola sepak profesional.

"Saya telah dimaklumkan mengenai isu kualiti trofi pada ABK 2018.

"Bagi saya, kualiti memang tidak boleh diterima dan saya jangka sesiapa sahaja yang terlibat perlu bertanggungjawab meletak jawatan serta-merta.

"Hanya 13 jam berada di luar negara dan huru-hara berlaku. MFL, selesaikan masalah ini dan beri anugerah (trofi) yang lebih berkualiti," katanya menerusi perkongsian di laman Twitter pada 2018. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram