SEORANG pemandu dan kelindannya maut manakala tiga lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga lori di KM164.8 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tangkak arah Selatan, Johor pada awal pagi Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, PBK II Zamri Ayob berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pukul 4.26 pagi.
Beliau berkata, 18 anggota daripada BBP Tangkak serta BBP Bukit Gambir, Johor digegaskan ke lokasi bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Pemandu dan kelindan terbabit didapati tersepit di dalam sebuah lori jenis Isuzu lima tan.
"Kedua-dua lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, tiga yang cedera iaitu dua pemandu lori dan seorang kelindan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan.
Operasi berkenaan katanya, tamat sepenuhnya pukul 6.05 pagi Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram