KEM PDRM FC dikejutkan dengan khabar kurang gembira selepas pertahanan kental The Cops, James Okwuosa dikaitkan ke kelab yang berpangkalan di Borneo.
Kehadiran pemain berketinggian 1.88 meter itu jelas menstabilkan pasukan selepas berjaya mengawal kemas benteng pertahanan PDRM yang dilihat sukar dibolosi pada pusingan kedua Liga Super 2023.
Sebelum ini, pemain pertahanan PDRM itu dilaporkan diintai beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) antaranya Kuching City FC.
Ditanya mengenai khabar angin tersebut, bek tengah sasa kelahiran Nigeria menjawab spekulasi yang tidak berasas itu.
"Saya tidak tahu mengenai khabar angin ke Kuching City, ia mungkin hanya spekulasi yang dibuat oleh peminat bola sepak," katanya kepada Majoriti.
Okwuosa difahamkan sedang diintai oleh beberapa pasukan Liga Super. — Facebook/PDRMFC
Ditanya sekiranya terdapat ejen atau kelab yang mahu mendapatkan khidmatnya musim depan, James sempat berkongsikan perkara tersebut dan hanya menyerahkan segala keputusan kepada ejennya.
"Setakat ini, tiada ejen atau kelab yang secara peribadi approach (mendekati) saya. Untuk perkara ini, ejen saya pasti lebih tahu.
"Semuanya terpulang kepada ejen saya untuk membuat keputusan sama ada dia mahu saya kekal bersama PDRM atau berpindah ke kelab lain akan datang," jelasnya.
Di samping itu, James turut tidak ketinggalan untuk memberi penghargaan kepada pihak pengurusan PDRM FC sepanjang dia menabur bakti bersama skuad tersebut.
"Saya sangat gembira berada dalam pasukan PDRM, terima kasih kepada coach, rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan," ujarnya.
Tambahnya lagi, prestasi cemerlangnya dalam setiap perlawanan yang ditampilkan itu pastinya sudah menarik perhatian beberapa pasukan di Liga Malaysia selain memberi bayangan akan kekal bersama The Cops musim depan.
"Bila kita melakukan yang terbaik dalam pasukan, pastinya ia akan mendapat perhatian dari orang ramai.
"Tapi sekarang saya hanya mahu kekal bersama PDRM," jelasnya.
Okwuosa antara pemain yang membantu PDRM FC muncul juara Piala Cabaran buat kali pertama selepas menewaskan Kuching City 4-1 secara agregat pada aksi final kedua di Stadium Negeri, Kuching pada awal Disember lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram