KEDAH Darul Aman (KDA) FC terus berputih mata apabila dikhabar bakal kehilangan seorang lagi pemain pada penghujung musim ini.
Sebelum ini, pemain pertahanan kanan KDA FC, Wan Amirul Afiq Abdul Rahman mendedahkan masa depannya bersama pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu akan berakhir.
Berikutan berita tersebut, kem Sang Kenari sekali lagi dikejutkan dengan khabar kurang gembira apabila bek versatil KDA FC, Ariff Farhan Muhd Isa turut berkongsikan masa depannya.
Dalam satu hantaran di media sosial, pemain kelahiran Kedah itu berkongsikan masa depannya bersama KDA FC.
Ariff Farhan (tengah) membuat penampilan terakhir bersama KDA FC musim ini. — Facebook/Muhdfarhan
"Alhamdulillah tamat sudah perjuangan untuk tahun 2023. Terima kasih isteri tercinta sentiasa di sisi di saat jatuh bangun.
"Terima kasih buat coach, barisan kejurulatihan, staff serta rakan seperjuangan dan tak lupa juga terima kasih semua yang sentiasa mendoakan dan menyokong pasukan dari awal hingga ke last game pada tahun 2023.
"Semoga tahun 2024 akan lebih cemerlang buat kita semua, Terima kasih fighters kenari, semoga kita berjumpa lagi, Insya-ALLAH, saya doakan sahabat-sahabat semua cemerlang dalam career bola sepak walau di mana pun anda berada," tulisnya di Facebook.
Berikutan berita kurang gembira tersebut, penyokong setia Hijau Kuning mendakwa bahawa bek versatil KDA FC itu turut mahu mengikuti jejak pemain pertahanan kanan Sang Kenari, Wan Amirul berhijrah ke Kuching City FC musim depan.
Sebelum ini, Ketua Jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak pernah meluahkan hasratnya untuk membawa masuk beberapa pemain KDA FC antaranya pemain tengah, Fadzrul Daniel dan Amirul Hisyam Awang Kechik selain Ariff Farhan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram