Bukan satu, tapi 5 'homework' Selangor nak kena buat kalau nak sahut cabaran TMJ


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Penyokong-penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan terakhir Selangor menentang PDRM pada Ahad lalu. — Faceboook/Selangor FC

SELANGOR FC berjaya layak ke pentas Asia selepas mengharungi musim yang cemerlang untuk menduduki tangga kedua Liga Super musim ini.

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berjaya membawa Selangor ke pentas Asia selepas mereka gagal bersama tiga jurulatih sebelum itu.

Musim ini, Gergasi Merah hanya tewas lima kali dan mencatatkan 20 kemenangan dalam 26 perlawanan Liga Super.

Sejak Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mula mengambil alih pihak pengurusan Selangor secara penuh pada 2020, dapat dilihat pasukan itu berada di landasan tepat untuk menjadi sebuah kelab profesional.

Namun projek RMS masih lagi baharu dan jauh untuk mendekati pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mula diambil alih oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim pada 2013.

Penyokong

Penyokong Selangor meraikan kejayaan Gergasi Merah ke Asia pada Ahad lalu. Faceboook/Selangor FC

Pada Rabu, TMJ mencabar Selangor untuk memecahkan rekod cemerlang pasukan JDT dalam arena bola sepak.

TMJ yang juga pemilik JDT berkata, skuad Harimau Selatan itu sudah melakar pelbagai kecemerlangan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Prestasi JDT itu jelas terpancar apabila pasukannya terus memenangi empat musim dalam Liga Super tanpa sebarang kekalahan.

Oleh itu untuk menyahut cabaran TMJ, Selangor memerlukan beberapa penambahbaikan untuk sekurang-kurangnya menyaingi JDT di masa akan datang:

Maklumat

Pemain-pemain Selangor sedang mendengar arahan yang disampaikan jurulatih. Faceboook/Selangor FC

1. Perkongsian Maklumat

Bukanlah pasukan Selangor tidak melakukan tugas yang baik dalam menyalurkan maklumat kepada penyokong Gergasi Merah.

Tetapi ada perkara seperti keadaan padang, info tentang pasukan pembangunan ataupun alatan serba canggih latihan kurang dikongsikan dalam media sosial Selangor FC.

Namun begitu, harus diberi kredit kepada pasukan media Selangor kerana menghasilkan konten yang baik untuk menarik perhatian lebih ramai penyokong ke stadium mahupun memberi sokongan kepada kelab kesayangan mereka.

Cadangan penambahbaikan, mungkin Selangor FC perlu mewujudkan media sosial baharu untuk memfokuskan info tentang skuad pembangunan daripada B-23 sehingga Piala Belia yang mana ia sedikit sebanyak dapat membantu menyalurkan maklumat tentang pasukan muda.

Lebih kerap untuk berkongsi alatan ataupun fasiliti baharu yang ada dalam pasukan Selangor sekali gus memberi gambaran positif terhadap pembangunan kelab.

Akademi

Selangor banyak menganjurkan klinik bola sepak untuk pemain cilik. Faceboook/Selangor FC

2. Akademi Selangor

Tidak dapat dipastikan bagaimana sistem akar umbi yang ada di dalam Selangor sejak RMS mengambil alih pasukan pada 2020.

Sejak RMS mengambil alih, Selangor lebih profesional untuk membina jambatan baharu buat pemain-pemain muda diserap masuk ke dalam skuad utama dengan melantik pengarah teknikal.

Tetapi di mata orang ramai, Selangor tidak mempunyai sistem akar umbi yang baik kerana didakwa selalu memborong pemain-pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk mengisi tempat ke dalam skuad muda Gergasi Merah.

Setiap pasukan ada cara tersendiri untuk membina pelapis skuad utama mereka, tetapi alangkah baiknya jika Selangor mampu menghasilkan pemain sendiri mengikut acuan Gergasi Merah.

Untuk membidas tanggapan orang ramai tentang akar umbi Selangor, pasukan media perlu memainkan peranan penting menyalur maklumat tentang skuad muda Gergasi Merah.

Buff antara pemain berkualiti yang pernah dibawa masuk pihak pengurusan Selangor.

3. Kualiti Pemain Import

Tidak boleh dinafikan pemain import memainkan peranan besar dalam bajet sesebuah pasukan untuk mengharungi musim terbabit.

Sejak dua musim kebelakangan ini, Selangor membawa masuk pemain import berkualiti seperti Oliver Buff (Switzerland), Ifedayo Olusegun (Bahrain), Safuwan Baharudin (Singapura), Yazan Al-Arab, Noor Al-Rawabdeh (Jordan), Herlison Caion (Brazil), Alex Agyarkwa (Ghana), Ayron del Valle (Colombia) dan Yohandry Orozco (Venezuela).

Namun begitu, Selangor perlu 'setup up' untuk memburu pemain lebih muda yang mempunyai pengalaman tinggi seperti dilakukan oleh JDT.

Tetapi ia juga perlu mengikut kesesuaian taktikal Cheng Hoe dan bajet pengurusan, namun jika benar bajet Selangor melebihi 30 juta setahun ia tidak menjadi masalah buat Gergasi Merah mendapatkan import yang lebih baik.

Antara calon import sesuai buat Selangor musim depan ialah Diego Lopes (Lion City Sailors), Willian Popp (Muangthong United), Matheus Pato (Shandong Taishan), Frank Castaneda (Radomiak Radom) dan ramai lagi.

Kolam Renang

Kolam pemulihan (recovery pool) yang berada di pusat latihan Selangor.

4. Fasiliti Pusat Latihan

Selangor menjadi pasukan kedua dalam Malaysia yang mempunyai pusat latihan tertutup meskipun tidak gah seperti JDT, ia menunjukkan RMS berusaha untuk menjadikan Selangor sebuah pasukan yang lebih profesional.

Pusat latihan Selangor boleh dikatakan lengkap dengan segala pusat rawatan, gimnasium, bilik persalinan dan mempunyai kafeteria sendiri.

Apa yang lebih mengejutkan, pusat latihan Selangor turut memiliki kolam renang untuk membantu pemulihan pemain-pemain Gergasi Merah, tetapi kebanyakan peminat bola sepak mesti tidak mengetahui perkara ini.

Boleh dikatakan Selangor turut menjadi pasukan yang mempunyai kelengkapan yang sempurna untuk menyediakan persekitaran baik untuk pemain.

Tetapi lebih baik lagi jika Selangor dapat berkongsi sistem terkini yang digunakan di pusat latihan serta penambahbaikan yang akan dilakukan oleh pihak pengurusan.

Ultrasel

Ultras Selangor atau lebih dikenali UltraSel. Faceboook/Selangor FC

5. Stadium MBPJ

Dikhabarkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal jadi gelanggang rasmi skuad Selangor FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mengesahkan stadium tersebut akan dinaik taraf untuk memenuhi standard dan peraturan yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Stadium MBPJ akan dipasang dengan kerusi dan tidak perlu lagi penyokong duduk atas simen.

Selain itu, pencahayaan lampu stadium, PA sistem, bumbung, sumber air dan sebagainya akan mendapat sentuhan baharu pada musim depan.

Usaha Selangor dan MBPJ ini akan lebih menarik perhatian penyokong untuk hadir ke stadium sekali gus menambah keuntungan buat pasukan Selangor.

Namun diharapkan pihak pengurusan Selangor dan MBPJ dapat mengekalkan pembaharuan yang akan dibuat pada musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram