TERENGGANU FC (TFC) dijangka diperkuatkan dengan kehadiran bekas penyerang Kelantan United, Ismahil Akinade bagi kembali merebut persaingan ke pentas Asia musim depan.
Perkara itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran menerusi satu hantaran di laman sosialnya miliknya pada Khamis.
Sang Penyu dilaporkan sedang memantau situasi pemain kelahiran Nigeria itu untuk memperkuatkan barisan serangan yang sebelum ini diketuai oleh Ivan Mamut.
Menurut T. Avineshwaran, Akinade turut menyaksikan kemenangan Terengganu ke atas Perak FC dengan keputusan 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Ahad lalu.
Dalam 23 perlawanan musim ini, penyerang berusia 29 tahun itu mencatatkan lapan jaringan gol dan enam assist bersama dua pasukan iaitu Kelantan FC serta Kelantan United.
Akinade dijangka menjadi pasangan baharu Ivan Mamut yang berjaya bangkit daripada kritikan orang ramai selepas prestasi hambarnya pada awal musim.
Namun menjadi persoalan siapakah yang akan digugurkan oleh Tomislav Steinbruckner bagi saingan musim depan apabila hangat diperkatakan dua tonggak utama TFC musim ini bakal jadi taruhan.
Sony Norde dan Habib Haroon menjadi dua nama yang difahamkan tidak akan menyambung kontrak bersama Sang Penyu musim depan meskipun berjaya membantu TFC melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2023.
Habib Haroon dikaitkan dengan pasukan daripada Utara manakala Sony pula menarik minat pasukan daripada India, Mohun Bagan pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram