SELANGOR FC sah berjaya menempah slot ke pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan selepas mengakhiri saingan Liga Super pada kedudukan kedua.
Perkara itu diumumkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Selasa selepas skuad Gergasi Merah berjaya kembali ke pentas Asia buat kali pertama selepas lapan tahun.
Saingan ACL2 adalah penjenamaan semula bagi Piala AFC bermula musim depan dan menampilkan kelainan apabila akan disertai beberapa pasukan dari negara gergasi bola sepak Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Qatar, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun tidak boleh dinafikan peluang Selangor dapat beraksi di ACL2 juga kerana kecemerlangan Johor Darul Takzim (JDT) beraksi di ACL sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tangkap layar komen TMJ dalam Instagram.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ baru-baru ini meninggalkan komen di laman Instagram menyatakan bahawa kemenangan JDT di semua kejohanan domestik membantu pasukan lain beraksi di pentas Asia.
"Kita tenang saja, tak macam orang jakun. Kalau JDT tak menang liga, Piala FA, Piala Malaysia, tak merasa ke Asia yang ada itu. Yang main Asia Elite (ACLE) ini pun setiap tahun main Asia, relax saja.
“Itulah mentaliti JDT. Malaysia dapat main ACL pun pasal siapa kalau tak JDT menyumbang point,” kata TMJ di ruangan komen.
Selangor melantik Cheng Hoe pada tahun lalu bagi menggantikan Karsten Neitzel.
TMJ turut mengingatkan bahawa jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe adalah cadangan dari dirinya semasa perjumpaan bersama pihak penguruan Gergasi Merah di Grand Hyatt Kuala Lumpur pada September tahun lalu.
"Coach Tan Cheng Hoe pun siapa yang recommend masa perjumpaan di Hyatt KL? Manusia ini cepat lupa. Kadang kala dalam hidup ini jangan segan nak ucap terima kasih.
"Selamat malam keluarga JDT ku. Raja bola sepak zaman profesional," jelasnya.
Tidak pasti siapa yang dimaksudkan TMJ dalam hantaran tersebut, tetapi berkemungkinan peringatan itu ditujukan kepada pihak pengurusan Selangor FC yang sering dikritik pemilik JDT itu sejak kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram