PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi kini hangat dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Selangor FC selepas dia sah tidak bersama Terengganu FC untuk saingan musim depan.
Perkara itu dikongiskan oleh pemerhati sukan, T.Avineshwaran dengan ciapan bahawa pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe berminat untuk mendapatkan khidmat Liridon.
Untuk rekod, Liridon pernah berada di bawah bimbingan Cheng Hoe ketika kedua-duanya berkhidmat di Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2015 hingga 2017.
Bersama Terengganu musim ini, Liridon kembali menemui rentak permainannya meskipun banyak bermula sebagai pemain simpanan.
Liridon juga berjaya mencatatkan minit permainan yang tinggi bersama Sang Penyu berbanding bersama pasukan yang diwakilinya sebelum ini.
Selepas berita mengenai Liridon ke Selangor diperkatakan orang ramai, muncul semula komen pemain berusia 31 tahun itu mengenai pembangunan Stadium Shah Alam baharu yang diumumkan pada awal tahun ini.
Seorang peminat bola sepak negara, Andy Penders memuat naik rekaan awal Stadium Shah Alam menerusi laman media sosial Instagram miliknya.
Penders menyatakan stadium tersebut akan menjadi salah satu stadium kegemarannya sekiranya siap dibina.
Komen Liridon dalam Instagram Andy Penders.
Namun, Liridon atau lebih dikenali 'Mat Don' kemudiannya memberi komen yang tidak percaya akan kewujudan stadium tersebut.
“Mungkin dalam 4000 tahun,” katanya.
Musim ini, Liridon beraksi sebanyak 24 perlawanan dan menjaringkan dua gol dan melakukan dua bantuan jaringan (assist) dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa.
Sejak dua musim lalu, Liridon dipinjamkan ke luar negara oleh JDT untuk beraksi bersama Newcastle Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram