Hero Piala MFL TFC ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Isa merupakan wira TFC II di perlawanan akhir Piala MFL.

MUSIM ini menjadi kempen yang cukup cemerlang buat skuad Piala MFL Terengganu FC iaitu Terengganu FC II (TFC II).

Mereka mungkin sekadar pasukan pembangunan-simpanan, tetapi kejayaan yang diraih TFC II pada tahun 2023 cukup cemerlang dan harus diberikan pujian.

Skuad kendalian Hairuddin Omar itu berjaya muncul sebagai pemenangan sulung kejuaraan Piala MFL selepas menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) II dalam aksi akhir yang diadakan di Cheras, Kuala Lumpur.

Dalam perlawanan tersebut, gol tunggal minit akhir Isa Raman menjadi pemisah kedua-dua pasukan dan memastikan kelab Pantai Timur itu membawa pulang piala ke Gong Badak.

Namun itu semua kini tinggal kenangan, hal ini kerana, wira TFC II di perlawanan akhir telah memilih untuk meninggalkan pasukan pada akhir musim.

Isa secara terbuka mengumumkan pemergiannya daripada skuad TFC II dan dijangka akan menyertai pasukan baharu musim depan.

"Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih khususnya kepada Terengganu FC kerana telah memberi peluang dan ruang kepada saya untuk berkhidmat di dalam pasukan ini selama tujuh tahun.

"Selama tujuh tahun yang penuh dengan pahit manis bersama TFC, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para jurulatih, rakan-rakan seperjuangan kerana telah banyak membantu saya dan membimbing dari tahun 2017 sehingga 2023. Tak dilupakan kepada para penyokong Terengganu, tanpa sokongan anda semua saya tidak akan berada sehingga ke tahap ini," kata Isa dalam siarannya di Facebook.

Terengganu jelas merupakan pasukan yang dekat dengan hati dan jiwa Isa. Perkara tersebut diterjemah oleh persembahannya di padang hingga berjaya memperoleh kejayaan.

Isa merupakan sebahagian daripada skuad remaja Terengganu yang berjaya meraih gelaran Piala Belia pada 2019 selain daripada Piala MFL yang diraih musim ini.

"Seikhlas hati saya, saya amat menyayangi Terengganu kerana di sinilah negeri kelahiran saya. Mungkin, khidmat saya diperlukan sehingga musim ini sahaja.

"Apa-apa pun teruskan memberi sokongan penuh kepada pasukan Terengganu FC. Semoga kita berjumpa lagi," tulis Isa.

Isa masih belum menentukan destinasi seterusnya untuk musim depan. Namun dengan bakat yang ada padanya, tidak mustahil terdapat beberapa kelab berminat dengannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram