Program Junior Golf Summer Camp 2023 dapat sentuhan Jing Xuen


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Mohd Irwan (kiri sekali) bersama para peserta dan jurulatih profesional pada Junior Golf Summer Camp di Jasin Heritage Golf Club, Jasin Melaka.

PROGRAM Junior Golf Summer Camp 2023 yang diadakan oleh One Professional Golf Academy dengan kerjasama The Weststar Group telah menutup tirai.

Program yang melibatkan seramai 26 peserta sempena musim cuti persekolahan itu berlangsung selama dua hari bermula 18 sehingga 19 Disember 2023 itu diadakan di Jasin Heritage Golf Club, Jasin, Melaka.

Program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai dunia profesional sukan golf.

PIX (4)

Jing Xuen (kanan) memberi taklimat mengenai pukulan putting.

Pengasas One Professional Golf Academy, Mohd Irwan A. Rahman berkata, kerjasama terjalin antara The Weststar Group merealisasikan projek perintis tersebut untuk memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi.

“Program mengetengahkan jurulatih-jurulatih golf profesional tanah air dan penampilan istimewa pemain golf pertama negara yang memenangi emas individu wanita di Sukan SEA, Ng Jing Xuen.

“Para peserta berusia lapan hingga 16 tahun ini sangat bertuah kerana mendapat sentuhan daripada atlet yang melakar sejarah dan profesional negara malah dinilai berdasarkan aspek teknikal, fizikal serta mental,” ujarnya.

Mohd Irwan yang juga merupakan pengarah program tersebut berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Program Junior Golf Summer Camp 2023 di Jasin Heritage Golf Club, Jasin, Melaka.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Kewangan, The Weststar Group, Datuk Mohd Wazeer Nawawi dan pemilik Jasin Heritage Golf Club, Datuk Md Zaini Mohd Ladzim.

PIX (5)

Para peserta Junior Golf Summer Camp 2023 memperoleh pendedahan berhubung sukan golf daripada pemenang pingat emas SEA Games, Jing Xuen.

Mohd Irwan menambah penilaian itu amat penting kerana dapat membantu peserta-peserta memperbaiki kemahiran mereka termasuk dari segi pukulan, postur tubuh badan, stamina dan kekuatan mental sekali gus dapat mengenal pasti kelebihan serta kelemahan mereka.

Katanya, maklumat berkenaan boleh disalurkan kepada jurulatih-jurulatih para peserta oleh ibu bapa mereka malah dapat menggunakan data tersebut untuk memperbaiki diri terutama apabila ingin menyertai kejohanan kelak.

Selain itu, dia juga memberi cadangan agar memperluaskan program berkenaan kepada empat zon pada tahun hadapan di negeri Kedah, Johor, Melaka dan Selangor.

“Saya berharap kerjasama bersama The Weststar Group dapat diteruskan untuk memartabatkan industri golf tanah air terutama di peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Wazeer berkata, The Weststar Group turut sama menyokong pertumbuhan bakat golf dalam kalangan remaja di negara ini.

“The Weststar Group berharap program tersebut dapat memberi inspirasi kepada peserta memperbaiki diri bukan sahaja dalam bidang golf tetapi kehidupan seharian mereka dan berharap tahun hadapan boleh menyertai lagi penganjuran program Junior Golf Summer Camp,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram