Jatuh bangkit Michelle, Ainil di lapangan hijau demi nama negara


  • Podium
  • Jumaat, 08 Dis 2023

Pendedahan dan peluang perlu diberikan terhadap atlet muda untuk menjamin masa depan yang lebih cerah dalam industri golf.

ATLET golf muda kebangsaan, Ng Jing Xuen melakar sejarah membanggakan apabila muncul pemain golf wanita pertama negara merangkul emas selepas mengungguli acara individu wanita dalam kejohanan Sukan SEA pada Mei lalu.

Atlet berusia 15 tahun itu mengetepikan cabaran juara bertahan kejohanan Golf Amatur Asia Pasifik, Eila Galitsky dari Thailand yang meraih perak sementara seorang lagi atlet negara, Foong Zi Yu membawa pulang gangsa.

Jing Xuen mengesahkan kilauan emasnya pada edisi ke-32 temasya sukan dwitahunan itu selepas menewaskan Galitsky dalam perlawanan 'play-off' satu lubang apabila kedua-duanya terikat di kedudukan 13 di bawah par 203 selepas tiga pusingan.

Kemenangan atlet muda negara itu membuka mata ramai pihak bahawa Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam industri sukan golf jika diberi lebih banyak pendedahan.

Dalam pada masa yang sama, sukan golf turut memberikan kenangan manis buat Jing Xuen apabila muncul atlet muda negara merangkul emas walaupun baru berusia 15 tahun.

Jing Xuen melakar sejarah membanggakan apabila muncul pemain golf wanita pertama negara merangkul emas dalam Sukan SEA pada Mei lalu.

Berkongsi pengalaman jurulatih sukan golf, Michelle Koh, beliau turut mempunyai pengalaman manis semasa bergelar atlet kebangsaan tujuh tahun lalu apabila membawa cabaran negara ke temasya sukan Olimpik Rio pada 2016.

"Sukan golf ini memberikan saya satu kehidupan yang lebih baik kerana dapat berjumpa dengan ramai orang dan selalu pergi ke pelbagai negara.

"Antara momen yang paling manis sepanjang bermain golf ini ialah mewakili Malaysia ke Olimpik Rio, Brazil pada 2016.

"Ia kerana ketika di Rio itu adalah antara pencapaian terbaik saya sepanjang dalam karier bermain golf," katanya kepada Majoriti.

Michelle Koh

Michelle Koh pernah mewakili Malaysia dalam sukan Olimpik Rio, Brazil pada 2016.

Tidak semuanya indah, Michelle turut berkongsi detik-detik sukar dalam hidupnya ketika bergelar atlet kebangsaan yang mana ia berlaku selama tiga tahun sejurus selepas tamatnya Olimpik Rio pada 2016.

"Pada 2017 hingga 2019 waktu itu karier golf saya terbantut. Sebab ketika itu saya buat bermacam-macam cara tapi masih tak jumpa jalan keluar untuk kembalikan semangat semula.

"Jadi untuk kembali bangkit selepas tiga itu, saya melakukan banyak latihan tetapi kebanyakan kerja yang saya buat ialah daripada segi mental.

"Pesanan saya untuk wanita di luar sana, banyak yang anda boleh dapat melalui sukan golf seperti peluang baharu serta pelbagai kebaikan.

"Jika anda jumpa dua ini pastinya akan mencintai sukan golf," jelasnya.

Ainil Johari

Ainil Johari menasihati pemain muda agar tidak terlalu tertekan ketika beraksi.

Dalam pada itu, atlet profesional, Ainil Johari Abu Bakar, turut berkongsi pengalaman buruknya sepanjang bermain golf yang berlaku selepas pandemik Covid-19 yang menyebabkan ia mengalami kesukaran kerana sudah lama tidak beraksi.

"Saya rasa pengalaman buruk ialah sekarang, kerana selepas Covid-19 semua jadi susah. Sebab kalau ada kejohanan pun kita tak boleh keluar.

"Kalau ada kejohanan pun tak banyak. Jadi bila dah lama tak main tekanan nak buat yang terbaik itu sangat tinggi.

"Musim lepas saya sangat bergelut dengan kesihatan mental, sebab saya fikir banyak benda ketika itu.

"Tetapi untuk atasi masalah itu, saya banyak membaca dan melakukan latihan pernafasan.

"Kenapa perlukan latihan pernafasan? Kerana saya selalu berfikiran negatif jadi saya sangat perlu tukar mentaliti itu," ujarnya.

Selangor Amateur Open ke-48

Selangor Amateur Open ke-48 antara platform buat pemain muda mempamerkan bakat.

Ainil yang mempunyai pengalaman lebih daripada 10 tahun dalam industri golf turut berkongsi pengalaman manisnya sepanjang bermain sukan itu.

"Pengalaman manis saya sepanjang main golf ini, ialah ketika memenangi kejuaraan di Taiwan. Saya rasa ia antara paling menarik kerana itu merupakan kemenangan pertama saya di luar negara.

"Sebab nak menang sesuatu kejohanan itu bukanlah mudah.

"Kedua ketika menang di Finland pada 2014 dan saya sangat suka pergi melancong dan mengembara ke negara orang adalah perkara yang baik semasa pertandingan.

"Untuk atlet muda pergi keluar bermain dengan penuh gembira dan ibu bapa tolong jangan letakkan bebanan yang tinggi terhadap mereka," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram