Sekarang kita boleh bergerak dan teruskan kerja — Hannah Yeoh


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Hannah Yeoh kekal menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS). — Facebook/KBS

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh berasa lega apabila terus diberi kepercayaan untuk memimpin Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hannah berkata, kelegaan itu disebabkan dia dan timbalannya, Adam Adli Abd Halim terus dikekalkan dalam menerajui KBS selepas topik rombakan Kabinet hangat diperkatakan sejak beberapa bulan lepas.

Hannah berkata, 2024 adalah tahun penting buat belia dan sukan dengan program Rakan Muda dan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 menjadi fokus utama KBS.

"Rasa lega kerana sudah berbulan-bulan orang cakap pasal rombakan Kabinet ini, sekarang kita boleh bergerak dan teruskan kerja kita,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan pasukan negara yang menjuarai Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia 2023 di Kuala Lumpur Golf and Country Club pada Selasa.

Pada masa sama, Hannah berkata, dia tidak bercadang untuk memperkenalkan program baharu, sebaliknya mahu memperkasakan program sedia ada, selain memastikan insentif sukan di bawah KBS dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Malaysia.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaannya supaya Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempertimbangkan semula keputusan meletakkan jawatannya hujung tahun ini, Hannah berkata, ia kerana sinergi yang telah terbina dalam program Road To Gold (RTG).

Hannah yang merupakan pengerusi bersama RTG, selain Mohamad Norza berkata, penglibatan figura itu dalam RTG sebagai Presiden BAM memberi impak positif terutama kepada sukan badminton yang membentuk blok majoriti atlet dalam program yang menyasarkan emas Olimpik pertama Malaysia itu.

"Saya percaya kalau ada pimpinan baharu tiada masalah, cuma sinergi (yang telah terbina) itu kerana kita beberapa bulan saja lagi (Paris 2024) sebab itu saya sebagai pengerusi bersama minta beliau pertimbangkan semula keputusannya itu,” kata Hannah.

Menurut Hannah, dia bukan mahu campur tangan dalam soal pentadbiran BAM, malah menyerahkan kepada Mohamad Norza dan BAM sendiri untuk berbincang dan membuat keputusan mengenai permintaannya itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram