[VIDEO] Player melutut merayu, tak setuju presiden kelab Turkiye suruh tinggalkan padang sebab tak dapat penalti


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Sarialioglu (dua dari kanan) masuk ke padang mengarahkan pemain Istanbulspor untuk memboikot perlawanan. — Agensi

SEBUAH detik yang pelik tapi benar sudah berlaku ketika satu perlawanan bola sepak di Turkiye diadakan.

Dalam perlawanan melibatkan Istanbulspor menentang Trabzonspor ketika perlawanan liga utama Turkiye, satu kejadian telah berlaku melibatkan pengadil dengan presiden salah sebuah kelab.

Presiden kelab Istanbulspor, Ecmel Faik Sarialioglu telah mengetuai protes terhadap pengadil dengan meminta para pemainnya meninggalkan padang.

Semua ini berpunca selepas kelab tersebut dinafikan peluang untuk mendapatkan sepakan penalti selepas Florian Loshaj dijatuhkan oleh pemain Trabzonspor iaitu Batitsta Mendy.

Berasakan mereka berhak untuk mendapatkan sepakan penalti daripada situasi tersebut, Sarialioglu kemudiannya naik angin kerana pengadil memilih meneruskan permainan.

_132096557_gettyimages-1860789189

Suasana panas ketika perlawanan antara Istanbulspor dengan Trabzonspor. — Agensi

Kemarahan tersebut kemudiannya diterjemah kepada bentuk protes apabila Sarialioglu turun ke padang dan kemudiannya mengarahkan pemainnya untuk berhenti bermain dan meninggalkan perlawanan pada minit ke-73.

Namun begitu, tidak semua pemain Istanbulspor memilih untuk memboikot perlawanan tersebut, ada juga yang meminta agar presiden membenarkan aksi diteruskan seperti biasa walaupun Istanbulspor sedang ketinggalan 1-2 di laman sendiri.

Malah, seorang pemain iaitu Simon Deli mengambil tindakan luar jangka apabila melutut merayu kepada Sarialioglu supaya perlawanan dapat dihabiskan seperti dalam rakaman yang tular di X (Twitter).

Akan tetapi, rayuan tersebut tidak diendahkan Sarialioglu dan perlawanan kemudiannya ditangguhkan tanpa mengetahui sama ada kedua-dua pasukan perlu beraksi semula atau kedudukan 2-1 memihak Trabzonspor akan kekal.

Kejadian tersebut merupakan insiden kedua yang berlaku dalam saingan domestik Turkiye melibatkan presiden kelab. Sebelum ini, presiden kelab Ankaragucu, Faruk Koca telah menumbuk pengadil selepas perlawanan menentang Caykur Rizespor.

Tindakan Koca itu telah menyebabkan dia digantung seumur hidup serta ditangkap oleh pihak polis Turkiye. Sementara penyokong Ankaragucu tidak dibenarkan masuk stadium sebanyak lima perlawanan kerana ada pemain yang memasuki padang ketika kejadian tersebut.

Insiden tersebut begitu teruk hinggakan mendapatkan respons Presiden Turkiye, Recep Tayyip Edrogan dan ia menyebabkan saingan domestik negara itu terpaksa ditangguhkan selama seminggu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram