Tiada venue lain, MBPJ kekal jadi rumah Selangor untuk ACL2 — CEO


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Selangor kembali ke saingan Asia pada musim 2024/2025. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC berjaya mencapai rekod yang lebih baik pada musim lalu terutamanya dalam saingan Liga Super.

Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu menutup tirai Liga Malaysia (Liga M) dengan kemenangan indah apabila menamatkan saingan Liga Super dengan kedudukan kedua dengan mengumpul 61 mata menerusi 20 kemenangan, satu seri serta merekodkan lima kekalahan dalam 26 perlawanan.

Dalam musim penuh pertama Cheng Hoe sebagai pengendali Gergasi Merah, Selangor berjaya menamatkan saingan liga dengan menjadi naib juara dengan memenangi 21 daripada 26 perlawanan.

Lebih manis, kejayaan tersebut berjaya melayakkan Selangor ke saingan Asia apabila mereka akan mewakili Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 atau ACL2.

WhatsApp Image 2023-12-20 at 12.25.56

Ayron Del Valle (jersi 70) meledak 23 gol sepanjang saingan Liga Super musim ini. — Facebook/Selangorfc

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut, Dr Johan Kamal Hamidon mengesahkan bahawa Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor kekal menjadi rumah pasukan Gergasi Merah dalam aksi tersebut.

Tambahnya lagi, stadium MBPJ tersebut akan dinaik taraf bagi memenuhi segala piawaian yang dikehendaki oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selain turut berkongsikan mengenai persiapan yang bakal dilakukan oleh pihak pengurusan Selangor menjelang perlawanan ACL2 tersebut.

"Saya boleh katakan 95 peratus akan diadakan di MBPJ, kami sedang berkerjasama rapat dengan pihak MBPJ untuk menaik taraf beberapa kemudahan di stadium ini," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, kerja-kerja penambahbaikan tersebut akan bermula pada awal April tahun depan.

"Kerja-kerja penambahbaikan itu akan bermula April musim depan," ujarnya.

Di samping itu, Johan turut mendedahkan bahawa sudah menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dinaik taraf bagi persediaan ACL2 tersebut.

"Insya-ALLAH, ada beberapa penambahbaikan seperti kerusi, pencahayaan, sistem pembesar suara, bumbung dan sumber air. Kita dah senaraikan perkara yang perlu dinaik taraf untuk sesuai dengan ACL2.

"Naik taraf sedang dirancang bersama pihak MBPJ. Sebenarnya pihak MBPJ tengah uruskan dan kami sokongan mereka. Pihak MBPJ mengambil inisiatif untuk kegunaan Selangor," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram