Senarai bocor, fans Sang Penyu cepat-cepat tolak dua nama pemain JDT


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Meraih kemenangan berturut-turut dalam Liga Super, dua tonggak JDT dilihat akan perkuatkan skuad TFC musim depan. — Instagram/Officialjohor

KEMENANGAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super 2023 menandakan berlabuhnya tirai Liga Malaysia musim ini.

Berakhirnya kempen Liga M musim ini, pastinya setiap pasukan dalam persediaan mahu mencari pemain-pemain yang cukup berkualiti untuk menguatkan skuad masing-masing.

Terengganu FC (TFC) turut tidak ketinggalan dalam mencari bakat-bakat baharu untuk membawa masuk pada musim depan.

Antara nama yang disebut-sebut ketika ini bakal memperkuatkan pasukan TFC untuk saingan musim 2024 ialah Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.

Kedua-dua penyerang sayap yang kerap memanaskan bangku simpanan JDT tersebut mula dikaitkan dengan kelab tersebut dalam usaha mereka memperkuatkan pasukan.

Meskipun ada beberapa nama pemain yang sudah diberi bayangan akan menyertai pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu, penyokong setia Sang Penyu bagaimanapun tidak bersetuju dengan khabar angin tersebut.

Berikut Majoriti menyenaraikan dua pemain skuad kebangsaan yang kurang diminati oleh penyokong Sang Penyu.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 19.35.32

Safawi akan menabur bakti bersama TFC musim depan secara pinjaman. — Instagram/safawirasid29

1) Safawi Rasid

Antara menjadi bualan hangat ialah pemain kelahiran Dungun, Terengganu, Safawi yang dilihat masih belum menunjukkan prestasi memuaskan di peringkat kelab.

Ia berikutan selepas pemain berusia 26 tahun itu jarang diturunkan sebagai kesebelasan utama JDT sebelum ini kerana perlu bersaing dengan bintang muda negara, Arif Aiman Hanapi di posisi sayap.

Malah, memegang status sebagai pemain pinjaman pastinya akan merugikan skuad Sang Penyu kerana difahamkan ketika berdepan skuad Harimau Selatan, Safawi tidak boleh diturunkan.

Situasi itu dapat disaksikan beberapa musim kebelakangan ini apabila beberapa pemain simpanan JDT tidak dapat diturunkan setiap kali bertemu pasukan berkenaan, termasuk dalam saingan Liga Super.

Meskipun pendekatan sebegitu tidak melanggar sebarang peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), ramai berpendapat keputusan sebegitu hanya akan mengganggu gaya permainan pasukan.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 19.34.55

Akhyar antara pemain yang turut dipinjamkan musim depan. — Instagram/akhyarrashid

2) Akhyar Rashid

Nama Akhyar sempat mencuri tumpuan penyokong setia Sang Penyu selepas menjadi antara pemain yang bakal dipinjamkan ke TFC musim depan.

Berikutan khabar angin tersebut, peminat TFC cepat-cepat menolak kehadiran pemain berusia 24 tahun itu.

Hal ini kerana, penyokong TFC berasakan kehadiran pemain kelahiran Kedah itu dilihat akan mengganggu minit permainan pemain muda seperti Syahmi Zamri dan Syafik Ismail.

Meskipun Akhyar mempunyai kualiti tersendiri bersama Harimau Malaya, prestasinya yang tidak konsisten membuatkan ramai pihak berasakan adalah lebih baik sekiranya skuad Sang Penyu memberi kepercayaan terhadap ubi muda mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram