'Makin lama makin merapu' Faisal jawab dakwaan ada salah faham dengan Brendan Gan


  • Podium
  • Khamis, 21 Dis 2023

Faisal merupakan tonggak utama skuad Gergasi Merah dengan 12 gol dijaringkannya dalam Liga Super. — Facebook/Selangor FC

BARU-BARU ini, timbul khabar angin mengatakan kapten Selangor FC, Brendan Gan bakal menamatkan tempoh perkhidmatannya selepas empat musim bersama pasukan tersebut.

Situasi tersebut dikatakan berpunca daripada keretakan hubungan dengan seorang pemain lain dalam bilik persalinan yang tidak didedahkan.

Namun, spekulasi mengatakan pemain yang dimaksudkan ialah pemain sayap skuad Gergasi Merah, Faisal Halim dengan ada pihak mengatakan penyerang berkenaan memiliki pengaruh tersendiri.

Isu tersebut sekali gus menyebabkan segelintir penyokong kelab Lembah Klang tersebut mula khuatir sekiranya mereka akan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Brendan Gan.

Bagaimanapun, spekulasi itu sedikit reda apabila wartawan tanah air, T Avineshwaran berkata pihak pengurusan Selangor FC sedang dalam usaha menawarkan kontrak baharu buat pemain berusia 35 tahun itu.

411331335_855724396559290_8350355192545689715_n

Masa depan Brendan Gan bersama skuad Gergasi Merah masih belum diputuskan. Facebook/Selangor FC

Tetapi, masih terdapat peminat bola sepak tanah air yang tidak senang duduk untuk mengetahui hubungan antara Faisal dan Brendan Gan.

Tampil memberikan penjelasan ialah pemain berjersi no 7 berkenaan yang menafikan terdapat perbalahan di sebalik tabir sehingga menjejaskan keharmonian pasukan.

Dalam satu hantaran di Instastory peribadinya, penyerang bertubuh kecil terbabit berkongsi klip pendek memaparkannya meraikan jaringan Brendan Gan ketika aksi Liga Super menentang PDRM FC pada 17 Disember lalu.

"Baru lepas pertengkaran ni, makin lama makin merapu dah. Lawak siak," katanya dalam nada sindiran terhadap dakwaan yang dibuatnya di media sosial.

Musim ini, kedua-dua pemain merupakan tonggak utama Selangor FC yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekali gus melayakkan mereka ke pentas Asia musim depan.

WhatsApp Image 2023-12-21 at 22.53.47

Jawapan diberikan Faisal menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya.

Faisal yang dibawa masuk dari Terengganu FC menjadi fokus utama serangan pasukan dengan 12 gol dan lapan bantuan jaringan direkodkannya.

Bagi Brendan Gan pula, usianya yang semakin lanjut dilihat tidak menjadi penghalang buatnya diturunkan dengan lebih kerap apabila dia mencatatkan 29 penampilan dalam kesemua pertandingan secara keseluruhan.

Tiga gol dan lapan bantuan jaringan turut menjadi bukti bahawa pemain tengah itu masih mempunyai sumbangan tersendiri buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Kedua-dua pemain terbabit dijangka akan terus memikul tanggungjawab besar buat Selangor FC yang bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram