Bukan setakat Zamsaham, 2 lagi nama pernah dilaung fans TRW supaya letak jawatan


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Zamsaham kini didesak oleh penyokong TRW supaya melepaskan pasukan Kelantan dengan segera. — Facebook

DRAMA demi drama, itulah yang boleh diungkapkan penutup cerita buat pasukan Kelantan FC yang dipenuhi dengan isu dalam dan luar padang musim ini.

Bukan JDT sahaja yang berjaya merekodkan pasukan pertama menjaringkan 100 gol semusim, malah Kelantan turut mencipta sejarah baharu menjadi pasukan pertama dibolosi lebih daripada 100 gol dalam satu musim.

Prestasi hambar Kelantan musim ini didakwa berpunca daripada masalah tunggakan gaji yang membuatkan pemain-pemain The Red Warriors (TRW) memilih untuk keluar daripada pasukan semasa liga sedang berjalan.

Tidak tahan dengan isu yang sedang berlaku musim ini, penyokong-penyokong Kelantan mula mendesak pemilik Kelantan, Norizam Tukiman melepaskan pasukan itu kepada individu lain.

Lebih dikenali Zamsaham, dia bukanlah individu pertama yang mendapat tekanan sebegitu daripada penyokong Kelantan apabila TRW gagal melangsaikan isu tunggakan gaji serta prestasi hambar di dalam liga.

Selain Zamsaham, Majoriti senaraikan dua presiden Kelantan pernah didesak oleh penyokong TRW untuk meletakkan jawatan kerana isu dalam dan luar padang:

Annuar Musa

Annuar Musa.

1. #ABAM (Asal Bukan Annuar Musa) 2014-2016

Disebabkan masalah kemelut gaji yang didakwa berlaku pada era Tan Sri Annuar Musa semasa menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) penyokong mula mendesak supaya beliau meletakkan jawatan demi kebaikan pasukan.

Meskipun Annuar Musa antara individu yang membawa pelbagai kejayaan buat negeri Cik Siti Wan Kembang itu, ia tidak menghalang daripada penyokong untuk mendesaknya supaya meletakkan jawatan.

Untuk rekod, Annuar memimpin pasukan Kelantan sehingga memperolehi pelbagai kejayaan antaranya meraih tiga kejuaraan iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super pada 2012.

Akhir sekali pada November 2016, Annuar Musa meletakkan jawatan sebagai Presiden KAFA berkuat kuasa serta merta.

Beliau membuat pengumuman itu dalam laman Facebooknya dengan memuat naik salinan surat rasmi peletakan jawatannya itu yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung KAFA ketika itu, Datuk Ismail Md Noor.

Bibi Ramjani

Bibi (kanan) pernah menuntut ilmu daripada TMJ.

2. #BIBIOUT (Gerakan Bibi Keluar) 2018-2019

Bibi Ramjani Ilias Khan dipilih untuk menyandang jawatan Presiden KAFA bagi penggal 2018 hingga 2021 selepas menewaskan seorang lagi calon presiden, Datuk Mohamad Nasir Hamzah dalam Kongres Tahunan KAFA ke-63 di Kota Bharu, Kelantan pada 2017.

Tidak boleh dinafikan, usahawan dan pengasas kepada butik Desa Murni Batik Sdn Bhd, itu berjaya melahirkan bakat-bakat pemain bola yang sedang menyinar dalam Liga Malaysia iaitu Nik Akif Syahiran (Penang FC) dan Shahrul Nizam (Terengganu FC).

Namun begitu, masalah prestasi pasukan dalam Liga Perdana serta kegagalan KAFA melunaskan tunggakan gaji Alfredo Gonzales sehinggakan tiga mata dipotong didakwa menjadi penyebab penyokong mendesak beliau supaya melepaskan jawatannya.

Sepanduk tertera luahan kemarahan, antaranya ‘Sila Letak Jawatan Pemusnah Bola Kelantan FA’, ‘Rombak KAFA’, ‘Bibi Out’ dan Selamatkan Bola Sepak Kelantan’ berada di sekotar Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas, Kelantan ketika itu.

Akhirnya pada tarikh 18 Jun 2018, Bibi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden KAFA sekali gus membuka peluang untuk ahli gabungan persatuan tersebut memilih presiden baharu.

Norizam

Norizam Tukiman.

3. #ZAMOUT (Gerakan Lepaskan Pemilikan Kelantan FC) 2023

Pelbagai isu melanda kelab Pantai Timur, Kelantan FC telah membuatkan penyokong pasukan tersebut semakin tidak senang dengan apa yang terjadi.

Baik cerita di luar atau dalam padang, penyokong TRW sudah semakin terbuka menuding jari terhadap pemilik kelab iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham.

Dengan kontroversi seolah-olah tidak menujukkan tanda-tanda akan berhenti, penyokong Kelantan sudah semakin muak melihat 'drama' yang terjadi lantas mereka menzahirkan rasa tidak puas hati secara terbuka.

Sebahagian penyokong bertindak menggantung sepanduk sebagai tanda protes kepada Zamsaham.

Pada masa sama, mereka turut menampal poster di sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan bagi menunjukkan rasa marah dengan prestasi semasa pasukan.

Antaranya berbunyi, "TRW Kelantan FC bukan kelab menjual kopi dan burger! Caro (Cara) bolalah."

Sehingga kini, Zamsaham masih lagi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan walaupun Kelantan menutup tirai Liga Malaysia dengan kekalahan 2-6 di tangan seteru setempat, Kelantan United pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram