'Tidak kisah di mana kami berada 2024', 4 watak penting Selangor tidak ke Asia musim depan?


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Safuwan (kanan) dikaitkan dengan kelab Singapura, Albirex Niigata Singapore FC pada musim depan. — Facebook/Selangor FC

SELANGOR FC berkemungkinan hilang empat individu penting yang membawa cabaran Gergasi Merah ke pentas Asia pada musim depan.

Dua daripadanya ialah penolong ketua jurulatih, Ramon Marcote seperti dikongsikannya dalam Instagram melalui Instastory yang dilihat meninggalkan negara ini pada Selasa.

Lebih menguatkan perkara itu, bekas pengendali Kedah tidak bersama Tan Cheng Hoe pada musim depan apabila wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam turut memberi bayangan sama dalam satu hantaran di media sosialnya.

Penjaring terbanyak Selangor, Ayron del Valle pula dikhabarkan menolak menyambung kontrak bersama Gergasi Merah apabila dia mahu beraksi di Liga Brazil pada musim depan.

Untuk rekod, Ayron berjaya menjaringkan 23 gol musim ini sekali gus menewaskan dua pencabar terdekat, Bergson da Silva (21 gol) dan Fernando Forestieri (19 gol) untuk meraih kasut emas Liga Super 2023.

T. Avineshwaran

Ciapan yang dimuat naik oleh T. Avineshwaran pada Rabu.

Menerusi perkongsian wartawan The Star, T. Avineshwaran dalam media sosial X berkata, Selangor ada melakukan perbincangan dengan Ayron tetapi dia memilih untuk pulang ke Amerika Selatan untuk beraksi bersama kelab Brazil pada musim depan.

Baca Lagi: Dikhabar tinggalkan Selangor, Ayron setuju sain kontrak 2 tahun minggu ini

Sebelum ini, Nadi Arena ada mendedahkan kapten pasukan Selangor, Brendan Gan juga masih belum menandatangani sebarang lanjutan kontrak bersama Gergasi Merah meskipun menampilkan aksi yang cukup baik untuk musim ini.

Safuwan Baharudin

Gambar dimuat naik oleh Safuwan (kanan) bersama Brendan (kiri) dalam Instagram.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan hantaran yang dimuat naik oleh pemain import Selangor, Safuwan Baharudin bersama Brendan yang memberi gambaran masih belum mengetahui masa depannya musim depan.

"Kami (Brendan Gan) telah bersama sejak 2020, berkongsi terlalu banyak memori yang hebat dalam dan di luar padang.

"Seorang ketua yang akan mendahulukan pasukan dan dirinya yang terakhir untuk semua situasi.

"Sangat dihormati oleh kesemua pemain, pahlawan yang akan melakukan segalanya buat pasukan.

"Tidak kira di mana kami akan beraksi pada 2024, saya percaya hubungan persahabatan antara kami yang telah terbina sejak beberapa tahun ini akan masih utuh.

"Macam orang cakap, benda baik akan ada penghujungnya tetapi benda baik itu akan sentiasa menjadi memori buat diri kita," luah Safuwan dalam Instagram.

Umum mengetahui, Safuwan kini dikaitkan pulang ke negara kelahiran apabila kelab Albirex Niigata Singapore FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi saingan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram