Terpalit kontroversi ‘dressing room’, fans Gergasi Merah lega Brendan Gan tak angkat kaki


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Brendan Gan dilaporkan mengalami permasalahan dalaman dengan seseorang di Selangor. — Facebook/Selangor FC

PELBAGAI cerita ditonjolkan oleh pelbagai pasukan serta pemain apabila musim sudah berakhir. Lazimnya, ia berkenaan perpindahan mereka dari satu pasukan ke pasukan lain.

Selangor FC juga tidak terkecuali dengan situasi tersebut. Di kem Gergasi Merah, terdapat beberapa nama yang dikaitkan dengan perpindahan keluar dari pasukan itu.

Sebagai contoh, masa depan pemain sayap seperti Faisal Halim serta pertahanan iaitu Safuwan Baharudin masih menjadi tanda tanya walaupun ada perkhabaran salah satu daripada mereka akan meninggalkan kelab.

Begitu juga dengan ketua pasukan Selangor iaitu Brendan Gan, apabila pemain kebangsaan itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan keluar daripada kelab tersebut selepas empat tahun bersama.

Gan dikatakan mempunyai permasalahan dalaman dengan seseorang hinggakan dia memilih untuk menamatkan hubungannya dengan Selangor pada musim ini.

411122833_854516856680044_950644394403999732_n

Gan (kiri) antara nama dijangka akan tinggalkan Selangor musim ini. — Facebook/Selangor FC

Namun begitu, situasi tersebut dilihat bakal berubah apabila dia dijangka akan kekal untuk satu lagi musim bersama-sama Selangor.

Menurut pemerhati sukan, T. Avineshwaran, Gan dijangka akan dikekalkan oleh Gergasi Merah untuk satu lagi musim dan bakal menjadi sebahagian daripada cabaran Selangor di Asia kelak. Akan tetapi, situasi tersebut masih lagi 50-50.

"Difahamkan, pemain tengah iaitu Brendan Gan dijangka akan kekal untuk satu musim lagi bersama Selangor. Tetapi kita akan tunggu dan lihat," kata Avineshwaran di laman X (Twitter) miliknya.

Situasi 50-50 itu mungkin disebabkan kerana permasalahan dalaman yang dialami oleh Gan dengan individu yang dirahsiakan tersebut.

Malah, namanya turut disebut-sebut bakal kembali ke salah sebuah bekas sebuah pasukannya sebelum ini yang merupakan antara kelab handalan Liga Super.

Walaupun begitu, perkembangan yang dibawa oleh Avinesh sedikit sebanyak dapat melegakan hati penyokong Selangor kerana mereka benar-benar berharap Gan akan terus kekal bersama-sama Gergasi Merah.

Selain itu, nasib dua pemain import Selangor iaitu Yohandry Orozco dan Ayron del Valle seakan sudah diketahui jawapannya.

Orozco dikatakan bersedia untuk kekal semusim lagi bersama-sama Selangor sementara Ayron telah tetapkan hatinya untuk pulang ke benua Amerika Selatan dengan Colombia dilihat sebagai destinasinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram