MASA depan pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Manuel Hidalgo masih lagi menjadi tanda tanya. Adakah dia akan kekal atau tidak?
Pemain sayap itu adalah salah seorang bintang Sang Kenari yang berjaya menghasilkan persembahan menarik pada musim 2023 selain Amirbek Juraboev dan Bojan Ciger.
Teka-teki mengenai masa depan pemain itu masih belum menemui jawapannya. Namun begitu, bintang dari Argentina itu memberikan bayangan akan mengenai perkara tersebut.
"Saya tutup tahun ini dengan rasa syukur dapat menjadi sebahagian daripada kelab hebat ini. Saya bawa rakan-rakan dan memori bersama-sama saya. Saya nikmatinya dan saya harap anda juga terhibur dengannya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada staf kejurulatihan, dan semua pihak yang menjadi sebahagian hidup saya dalam kehidupan seharian di kelab ini. Saya juga berterima kasih kepada penyokong Kedah yang cukup hebat," kata Hidalgo dalam siaran Instagram miliknya.
Hidalgo mencatatkan 10 bantuan gol untuk Sang Kenari dalam Liga Super musim ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Buat masa sekarang, Hidalgo mengatakan yang dirinya ingin berehat terlebih dahulu sebelum menentukan gerakan seterusnya.
"Sekarang ini, masa untuk saya berehat dan mula melakukan persediaan bagi babak baharu dalam karier saya, yang terbaik pasti akan datang," ujar Hidalgo.
Apa yang dikatakan oleh Hidalgo itu seolah-olah pemain tersebut memberikan bayangan akan meninggalkan Sang Kenari pada musim depan.
Ditambah pula dengan terdapat khabar angin yang beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat Hidalgo, siaran Instagram pemain tersebut secara tak langsung menambah potensi perpindahan tersebut akan berlaku.
Sebelum ini, nama Hidalgo ada disebut-sebut bakal direkrut oleh Tan Cheng Hoe bagi menguatkan lagi barisan serangan Selangor FC pada musim depan.
Situasi tersebut pastinya menggusarkan para penyokong Sang Kenari kerana mereka tidak mahu kehilangan pemain sayap sebagus Hidalgo. Andai benar Hidalgo berpindah, pengurusan Sang Kenari perlu mencari pengganti setandingnya musim depan.
Musim ini, Hidalgo menjalankan tugasnya dengan baik sebagai pemain sayap apabila mencatatkan tiga gol serta 10 bantuan jaringan untuk KDA dalam 24 penampilannya dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram