JDT pasukan tunggal terima penalti dengan jumlah angka berganda di Liga Super


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Bergson da Silva adalah pemain yang ditugaskan mengambil sepakan penalti JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SAINGAN Liga Super untuk musim 2023 telah pun berakhir dengan menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) merangkul gelaran ke-10 berturut-turut.

Rekod cemerlang yang dicipta oleh skuad kendalian oleh Esteban Solari itu membuktikan Harimau Selatan adalah pasukan utama dalam bola sepak Malaysia dan sukar untuk dicabar oleh sesiapa.

JDT mencipta rekod apabila menjaringkan sebanyak 100 gol musim ini sambil hanya bocor sebanyak tujuh kali kepada lawan-lawan mereka dalam saingan liga.

Tapi tahukah anda, daripada 100 tersebut, 12 daripadanya terhasil daripada sepakan penalti? Menurut data yang dikeluarkan oleh Transfermarkt, JDT merupakan pasukan paling tinggi kadar jaringannya dari jarak 12 meter.

411327028_927064688789508_61910916500361861_n

Bergson menjaringkan penalti ketika JDT menewaskan Penang. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Situasi tersebut berlaku kerana JDT merupakan pasukan paling banyak menerima sepakan penalti dalam Liga Super musim ini. Sebagai rekod, Harimau Selatan menerima 15 sepakan penalti.

Jumlah tersebut melebihi mana-mana 13 pasukan lain dalam Liga Super. Lebih menarik, hanya JDT menerima jumlah sepakan penalti dengan dua angka.

Sebagai perbandingan, pasukan kedua terbanyak menerima sepakan penalti musim ini adalah Sri Pahang FC. Skuad kendalian Fandi Ahmad itu menerima lapan sepakan penalti dengan enam kali ia disempurnakan.

Ia disusuli dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang menerima jumlah sama tapi dengan rekod lebih baik. Sang Kenari berjaya menyempurnakan kesemua sepakan penalti yang dikurniakan kepada mereka.

Terdapat dua pasukan yang menerima jumlah sepakan penalti paling rendah dalam Liga Super iaitu Perak FC dan Negeri Sembilan FC. Mereka hanya menerima sekali sepakan tersebut dan mujur, ia berjaya disempurnakan.

Berikut merupakan senarai penuh jumlah sepakan penalti diterima kesemua 14 pasukan Liga Super musim ini:

  1. Johor Darul Takzim - 15 kali, 12 disempurnakan
  2. Sri Pahang - 8 kali, 6 disempurnakan
  3. Kedah Darul Aman - 8 kali, 8 disempurnakan
  4. Sabah - 7 kali, 6 disempurnakan
  5. Kelantan - 5 kali, 5 disempurnakan
  6. Kelantan United - 5 kali, 5 disempurnakan
  7. Kuching City - 3 kali, 3 disempurnakan
  8. PDRM - 3 kali, 3 disempurnakan
  9. Selangor - 3 kali, 3 disempurnakan
  10. Penang - 2 kali, 2 disempurnakan
  11. Kuala Lumpur City - 2 kali, 2 disempurnakan
  12. Terengganu - 2 kali, 2 disempurnakan
  13. Perak - 1 kali, 1 disempurnakan
  14. Negeri Sembilan - 1 kali, 1 disempurnakan

Begitulah jumlah penalti yang diberikan kepada setiap pasukan. Kelab anda terima berapa banyak penalti musim ini? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram