Jaring 100 gol, pemain paling tua antara 3 rekod Liga Super paling sukar untuk dipecahkan


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

JDT mencatatkan kejuaraan kesepuluh berturut-turut dalam Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SAINGAN Liga Super 2023 telah melabuhkan tirainya secara rasmi dengan pelbagai catatan suka dan duka terpahat.

Setiap 14 pasukan ada ceritanya. Ada yang manis, tidak kurang pahit hinggakan terlalu sukar untuk ditelan baik buat pemain dan penyokong.

Musim ini juga menyaksikan pelbagai rekod terhasil dengan ia mungkin akan mengambil masa yang lama untuk dipecahkan. Tambahan pula, setiap rekod yang terhasil itu mempunyai uniknya yang tersendiri.

Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga rekod menarik yang akan sukar untuk dipecahkan dalam masa terdekat:

1. JDT sumbat 100 gol

Musim ini menyaksikan kegemilangan berterusan buat Johor Darul Takzim (JDT) apabila berjaya merangkul gelaran kesepuluh berturut-turut dalam Liga Super.

Lebih menarik, mereka melakukannya dengan penuh bergaya. Harimau Selatan sekali lagi menamatkan musim Liga Super mereka dengan mencatatkan rekod tanpa kalah.

Setiap lawan yang ditentang pasti akan tumbang di tangan JDT. Lebih menggerunkan, Harimau Selatan mencipta rekod menjadi pasukan pertama menghasilkan 100 gol liga pada musim ini.

Rekod tersebut mungkin terlalu sukar untuk dipecahkan memandangkan komposisi liga kita yang mengamal format 14 pasukan. Namun begitu, jika ia berjaya dipecahkan mungkin JDT sendiri yang melakukannya.

411600849_927064232122887_6183664106066809492_n

Bergson da Silva merupakan penyumbang terbesar 100 gol liga JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

2. Lebih 100 kali gawang bocor

Jika JDT boleh bermegah dengan rekod jaringan 100 gol mereka musim ini, terdapat sebuah mempunyai rekod lebih kurang sama tapi dengan nota mengecewakan.

Kelantan FC menjadi pasukan pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia yang memboloskan lebih 100 gol dalam satu musim Liga Super.

Pasukan Pantai Timur itu memboloskan 121 gol Liga Super dengan hanya berjaya menyumbat 29 gol sepanjang 26 perlawanan liga untuk semusim.

Jika dicampur dengan rekod bolos yang terhasil di Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran, The Red Warriors memboloskan 150 semusim. Satu rekod yang pastinya tiada pasukan ingin pecahkan sampai bila-bila.

411424975_380171651071491_4006145898656792996_n

Kelantan FC (jersi merah-hitam) mencipta rekod terburuk dalam sejarah Liga Super. — Facebook/MFL

3. Otai masih berbisa

Dalam saingan tempatan, terdapat ramai pemain yang berstatus 'otai' masih beraksi dengan penuh bertenaga untuk pasukan masing-masing.

Nama-nama seperti Shukor Adan, Safee Sali antara yang pernah beraksi sehingga fasa 'otai'. Musim ini, Amri Yahyah turut menamatkan kariernya di fasa tersebut pada usia 42 tahun.

maxresdefault

Ramesh Lai merupakan pemain tertua di Liga Super. — YouTube/MFL

Tetapi, siapakah pemain paling tua dalam saingan Liga Super sebenarnya? Rekod itu dipegang oleh pemain Kuching City FC iaitu Ramesh Lai.

Pertahanan kiri itu berusia 43 tahun dan masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti daripada bermain. Jika Ramesh terus kekal beraksi pada musim depan, rekod tersebut akan dipanjangkan kepada 44 tahun dan semakin sukar untuk dipecahkan.

Kita mungkin akan ada Kazuyoshi Miura jika Ramesh terus utuh beraksi hingga usianya menjengah 50-an. Pada waktu itu, mungkin terlalu sukar rekod tersebut akan dipecahkan mana-mana pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram