Dr Johan anggap 2023 tahun terbaik Selangor bawah pimpinan RMS


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Selangor kembali ke saingan Asia pada musim 2024/2025. — Facebook/Selangor FC

MUSIM ini, Selangor FC mencapai rekod yang lebih baik pada musim lalu terutamanya dalam saingan Liga Super.

Dalam musim penuh pertama Tan Cheng Hoe sebagai pengendali Gergasi Merah, Selangor berjaya menamatkan saingan liga dengan menjadi naib juara dengan memenangi 21 daripada 26 perlawanan.

Lebih manis, kejayaan tersebut berjaya melayakkan Selangor ke saingan Asia apabila mereka akan mewakili Malaysia dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2 atau ACL2.

Bercakap mengenai rekod yang dianggap baik dicipta Selangor pada musim ini, ketua pegawai eksekutif kelab tersebut, Dr Johan Kamal Hamidon berasakan tahun 2023 menghasilkan pencapaian terbaik ketika era kepimpinan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.

"Boleh dikatakan tahun ini merupakan tahun terbaik kalau kita lihat dari segi konsistensi dalam liga, kita meraih 21 kemenangan dalam 26 perlawanan. Saya rasa itu adalah pencapaian yang baik.

"Saya rasa dalam 10 tahun lepas, tahun ini adalah pungutan mata paling tinggi untuk pasukan Selangor. Jadi saya rasa, dalam lima tahun RMS menjadi presiden dan pengerusi, ini merupakan pencapaian terbaik di bawah kepimpinannya di Selangor," kata Johan kepada Majoriti.

410551314_854469793351417_7821037388999852994_n

Faisal (kiri) dan Ayron (kanan) menjadi nadi kecemerlangan Selangor di depan gol. — Facebook/Selangor FC

Dalam masa yang sama, Johan turut berpuas hati dengan persembahan diberikan oleh Cheng Hoe dalam musim penuh pertamanya di Selangor.

Walaupun tiada piala yang dibawa pulang, tetapi berjaya melayakkan diri ke saingan Asia pada musim depan telah membuatkan Cheng Hoe berjaya mencapai salah satu sasaran Gergasi Merah.

"Sasaran untuk layak ke Asia adalah sasaran utama Selangor. Oleh itu, kami berpuas hati dengan persembahan yang ditonjolkan oleh Cheng Hoe untuk peroleh tempat kedua dan layak ke Asia.

Selangor menutup saingan Liga Super musim 2023 dengan merakamkan kemenangan 3-1 ke atas PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya hasil jaringan Faisal Halim, Brendan Gan dan Richmond Boakye.

Musim ini, Gergasi Merah menamatkan saingan Piala FA di peringkat separuh akhir sementara terkandas kepada Terengganu FC dalam Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram