Ada sebab fans Selangor tak restu kehadiran Liridon musim depan


  • Podium
  • Rabu, 20 Dis 2023

Liridon (kanan) dikhabarkan berminat untuk kembali berada di bawah bimbingan Cheng Hoe musim depan.

SELEPAS lapan tahun menunggu, hasrat Selangor FC untuk beraksi di pentas Asia akhirnya tercapai apabila mereka menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kedua.

61 mata yang dikutip selepas 26 perlawanan menyaksikan pasukan Lembah Klang tersebut memiliki jurang selesa berbanding Sabah FC di kedudukan ketiga.

Prestasi memberangsangkan skuad Gergasi Merah turut dipamerkan dalam aspek serangan mahupun pertahanan apabila hanya juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) mencatatkan rekod lebih baik.

Jadi, harapan besar pastinya diletakkan penyokong terhadap pihak pengurusan untuk mempersiapkan skuad terbaik menjelang saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 pada edisi akan datang.

Mereka yang dijangka berdepan pasukan-pasukan berkualiti sekitar Asia semestinya perlu memiliki pemain dengan kebolehan cukup hebat dalam posisi masing-masing.

410482777_854469713351425_667610587739260533_n

Skuad Gergasi Merah bakal berentap dalam saingan ACL 2 musim depan. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, baru-baru ini, penyokong Selangor FC dikejutkan apabila timbul khabar angin mengatakan Liridon Krasniqi berada dalam radar pasukan.

Ura-ura itu mula kedengaran selepas pemain naturalisasi negara terbabit sudah tidak lagi mempunyai kontrak dengan Johor Darul Takzim (JDT) mahupun Terengganu FC yang disertainya secara pinjaman awal musim lalu.

Skuad Gergasi Merah dikatakan sebagai destinasi terbaik buat pemain tengah itu apabila dia berpeluang kembali berada di bawah kendalian Tan Cheng Hoe yang pernah membimbingnya di Kedah FA.

Meskipun laporan berkenaan tidak disahkan mana-mana pihak, majoriti besar daripada penyokong pasukan tersebut tampil menolak kehadirannya untuk musim akan datang.

Berdasarkan luahan di media sosial, terdapat tiga faktor utama di sebalik pandangan orang ramai yang tidak mahu melihat Liridon menyertai Selangor FC pada 2024.

1. Sasaran besar di pentas Asia

Seperti dinyatakan di atas, kejayaan skuad Gergasi Merah melayakkan diri ke ACL 2 musim depan sememangnya diraikan penyokong pasukan terbabit.

Jadi, untuk memberi saingan terbaik, pasukan itu perlu dibarisi pemain dengan kualiti tersendiri apabila cabaran lebih besar menanti mereka di pentas Asia.

Selain itu, mereka perlu mendapatkan seseorang yang mempunyai pengalaman di peringkat tertinggi untuk memberi kelebihan dari segi mental di atas padang.

1919127

Liridon sudah tidak lagi berada di kemuncak kariernya ketika ini.

Kehadiran Liridon dilihat tidak akan selari dengan misi ditetapkan penyokong dengan pemain itu sudah tidak berada di kemuncak kariernya ketika ini.

Jika pihak pengurusan kelab bertegas untuk mendapatkan khidmatnya berdasarkan pengalaman, keputusan berkenaan pasti akan menimbulkan rasa kurang senang.

Tetapi, sekiranya pemain kelahiran Kosovo terbabit dapat membuktikan yang sebaliknya, dia pastinya akan kembali meraih perhatian ramai.

2. Gaya permainan tidak sesuai

Salah satu sebab keberadaan Liridon bersama skuad Sang Penyu seakan-akan tidak direstui adalah kerana pemain tengah itu sering melewatkan permainan.

Kelewatannya untuk membuat hantaran dianggap akan merencatkan serangan pasukan, lebih-lebih lagi sekiranya mereka meletakkan kepercayaan penuh terhadap penyerang dengan kelajuan di atas padang.

Taktikal permainan itu sememangnya menjadi satu percaturan Selangor FC musim ini dengan Faisal Halim dan Ayron del Valle merupakan titik utama serangan.

Faisal

Kelincahan Faisal Halim dan Ayron merupakan aset utama mereka di atas padang. Facebook/Selangor FC

Jika pihak pengurusan Selangor FC memilih untuk membawa masuk Liridon, ia dikhuatiri hanya akan memberi kesan terhadap taktikal pasukan.

Namun, sekiranya Cheng Hoe berhasrat mengubah gaya permainan mereka, kehadiran pemain terbabit pastinya dapat membawa kelainan buat pasukan.

Selain itu, Liridon juga boleh dialu-alukan kedatangannya sekiranya dia dapat menyesuaikan diri dalam membantu gerakan serangan mahupun pertahanan skuad Gergasi Merah.

3. Usia dan kecergasan

Meskipun baru sahaja berusia 31 tahun, ramai yang berasakan bahawa Liridon sudah tidak berada dalam tahap kecergasan terbaik berdasarkan prestasinya musim ini.

Selain kurang memberi tekanan terhadap pihak lawan, pemain dengan ketinggian 1.92 meter itu juga hanya bermain untuk 90 minit dalam tujuh penampilan Liga Super daripada 21 secara keseluruhan.

Kekurangan dalam aspek tersebut akan memberi kekurangan terhadap taktikal Cheng Hoe yang sering bertenaga dalam merebut bola daripada lawan.

20A05C31-72DA-48A7-B6C9-4ACBD1EFB016

Liridon tidak berada dalam prestasi terbaik sepanjang bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Selangor FC

Ia dapat disaksikan apabila kesemua pemain tengah mereka, seperti Brendan Gan dan Noor Al-Rawabdeh yang tidak henti-henti mempamerkan aksi terbaik sepanjang 90 minit permainan.

Sekiranya isu kecergasan dapat diatasi Liridon, ia pastinya menjadi satu faktor untuknya diberikan peluang menyertai pasukan itu.

Bagaimanapun, harapan berkenaan seperti sukar untuk direalisasikan apabila dia sememangnya lebih dikenali sebagai pemain yang kurang memberi sumbangan dalam aspek pertahanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram