Belum sah lagi, tapi Zarif Irfan siap alu-alukan kehadiran penyerang baharu Tok Gajah


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Zarif Irfan merupakan penjaga gol yang kerap diberikan kepercayaan bersama skuad Tok Gajah musim ini. — Facebook/Sri Pahang FC

MESKIPUN menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga kelima, kualiti jentera serangan Sri Pahang FC musim ini masih perlu diperbaiki pada jendela perpindahan akan datang.

Harapan tinggi yang diletakkan di bahu pemain antarabangsa Liberia, Kpah Sherman tidak boleh diteruskan pada 2024 dengan penyerang tersebut sudah semakin berusia.

Tidak cukup dengan itu, kehilangan import dari Brazil, Lucas Silva turut memberi klu awal bahawa skuad Tok Gajah perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap posisi berkenaan pada jendela perpindahan akan datang.

Perkara berkenaan seperti turut disedari pihak pengurusan kelab apabila bertebaran khabar angin di media sosial ketika ini yang menyebut bahawa mereka bakal membawa masuk beberapa pemain baharu.

Penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Hazwan Bakri dikhabarkan bakal menyertai kelab Pantai Timur berkenaan selepas lapan tahun berkhidmat buat jaguh Liga Super terbabit.

2006356

Eky sudah kembali menemui sentuhannya sejak menyertai skuad Jang awal musim lalu. Facebook/Negeri Sembilan FC

Bagaimanapun, isu kecederaan dan kekurangan minit permainan kompetetif membuatkan ramai kurang berpuas hati dengan khabar angin terbabit.

Ura-ura perpindahan itu tidak terhenti di situ apabila Sri Pahang FC turut dikaitkan dengan seorang lagi bekas penyerang berkualiti tanah air, Shahrel Fikri Mohd Fauzi.

Pemain yang beraksi bersama Negeri Sembilan FC itu kembali berada dalam radar pasukan Liga Super selepas mencatatkan enam gol dan dua bantuan jaringan dalam 16 penampilan liga.

Kebangkitannya itu turut menyaksikannya kembali diberikan peluang bersama Harimau Malaya ketika aksi persahabatan menentang Papua New Guinea apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian.

Tetapi, harapan Sri Pahang FC untuk mendapatkan penyerang berusia 29 tahun itu bukanlah mudah apabila terdapat pasukan lain yang juga mahu mendapatkan khidmatnya, termasuk Perak FC.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 21.17.44

Tangkap layar memaparkan komunikasi ringkas antara Zarif Irfan dan Shahrel Fikri.

Bagaimanapun, Shahrel Fikri atau lebih dikenali sebagai Eky seperti sudah memutuskan untuk membantu skuad Tok Gajah musim depan selepas satu klu diberikan penjaga gol kelab itu, Zarif Irfan Hashimuddin.

Perkara itu berpunca daripada satu komen yang ditinggalkan pemain Sri Pahang FC tersebut dalam satu hantaran baharu Eky di laman Instagram peribadinya.

"Selamat datang, Mat Kilau," katanya sebelum Shahrel Fikri menjawab kata-kata ringkas daripada Zarif yang sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan.

Penyerang kelahiran Sabah terbabit pernah diangkat sebagai antara permata baharu skuad kebangsaan apabila muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2020 dalam kategori pemain tempatan ketika bersama Perak FC.

Bagaimanapun, isu kecederaan menyaksikannya jarang meraih minit permainan bersama Selangor FC dengan dia lebih kerap diletakkan dalam skuad simpanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram