MENJELANG kempen Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada Januari akan datang, pelbagai persiapan pastinya sedang disusun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pastinya sudah membuat penilaian mengenai pemain yang bakal dibawa untuk pertandingan terbabit.
Jadi, pada Selasa, FAM mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bermula 26 Disember ini.
Perkara yang sememangnya menarik dalam pengumuman terbabit ialah kehadiran penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales selepas orang ramai amat menanti-nantikan kehadirannya.
Pemain Kuala Lumpur (KL) City FC terbabit sudah bertahun-tahun dikatakan bakal menyertai skuad kebangsaan yang ketandusan pilihan di posisi serangan.
Senarai 26 pemain yang dipanggil untuk ke kem latihan Harimau Malaya pada 26 Disember. — Facebook/FAM
Usia Darren Lok yang semakin berusia serta isu kesesuaian untuk meletakkan Paulo Josue sebagai penyerang utama mendesak kehadiran Romel dalam Harimau Malaya.
Jadi, keputusan FAM untuk memberikan pemain berusia 26 tahun itu status kewarganegaraan dijangka akan mencuri perhatian peminat bola sepak tanah air.
Namun, berdasarkan pemerhatian di laman media sosial, orang ramai lebih tertarik dengan keputusan Pan-gon untuk memberi peluang kepada dua pemain tersisih, Khuzaimi Piee dan Natxo Insa.
Mereka yang kurang diberikan minit permainan di peringkat kelab dikatakan mampu memberi satu kelainan buat skuad kebangsaan sepanjang kempen Piala Asia nanti.
Khuzaimi pernah diangkat sebagai bek utama Harimau Malaya beberapa tahun kebelakangan ini.
"Gabungan pemain yang mempunyai kelebihan teknikal, taktikal, kelajuan dan fizikal yang dipilih pasukan kejurulatihan. Tahniah Khuzaimi berada dalam skuad," kata Noor Azam.
"Pengalaman luas Natxo boleh digunakan Harimau Malaya ketika berdepan pasukan dari Timur Tengah. Boleh membentuk trio yang stabil bersama Afiq (Fazail) dan (Stuart) Wilkin," ujar Empayar Darul Takzim - EDT.
"Alhamdulillah, Khuzaimi sudah kembali. Pertahanan tengah yang baik, pemain serangan pun sudah ada banyak pilihan dengan penambahan Romel," ujar Zico Figo.
Musim ini, Khuzaimi merekodkan 16 penampilan dalam kesemua pertandingan buat skuad Gergasi Merah dengan hanya lapan daripadanya menyaksikan pemain itu memulakan perlawanan.
Pan-gon (kiri) masih mempercayai kebolehan dimiliki Natxo Insa. — Facebook/FAM
Dia yang mencuri nama bersama Negeri Sembilan FC musim lalu diramal bakal memainkan peranan penting buat Selangor FC, namun kecederaan dialaminya membuatkan kariernya bersama kelab itu sedikit pudar.
Tetapi, pemain berusia 30 tahun tersebut dilihat diberikan kepercayaan selepas pernah membuktikan kebolehannya ketika kempen Piala AFF 2022.
Bagi Natxo pula, kualitinya di atas padang sememangnya sukar untuk dipandang remeh meskipun usianya kini sudah mencecah 37 tahun.
Kebolehannya untuk mematahkan serangan lawan serta pengalamannya beraksi di tahap tertinggi boleh dianggap sebagai antara faktor Pan-gon memanggilnya ke kem latihan berpusat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram