KEHADIRAN pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan ternyata memberikan kelebihan buat Harimau Malaya untuk kekal bersaing di pentas Asia tanpa mengira kedudukan ranking negara.
Sejak diperkenalkan pada 2018, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memanggil sebanyak lapan pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh (Gambia), Guilherme de Paula, Paulo Josue, Endrick dos Santos (Brazil), Liridon Krasniqi (Kosovo), Lee Andrew Tuck (England) dan Sergio Ezequiel Aguero (Argentina).
Kini, bek tengah Penang FC, Rafael Vitor dijangka berpeluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya berikutan bakal dinaturalisasikan.
Gol penyamaan yang dicetak oleh Vitor mencuri tumpuan penyokong Penang FC ketika berdepan Sang Penyu. — Facebook/MFL
Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran mengenai Vitor dijangka layak mendapat status kewarganegaraan menjelang akhir tahun hadapan.
"Bek tengah, Rafael Vitor akan kekal bersama Penang FC musim depan," tulisnya di X.
Sejak mewakili Penang FC sejak tahun 2020, Vitor diberi tugas untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan selain tonggak utama di bahagaian pertahanan.
Sekiranya pemain kelahiran Brazil itu dinaturalisasikan, pastinya Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akan mempunyai banyak pilihan di barisan pertahanan terutamanya posisi bek tengah.
Dalam pada itu, rata-rata penyokong setia Harimau Kumbang berpuas hati dengan keputusan yang diambil oleh pihak pengurusan Penang FC kerana mengekalkan pemain berketinggian 1.92 meter itu.
“Sesuai dah ni, lagi dua tahun dinaturalisasikan,” kata @Ekor_Harimau.
“Terbaik pihak pengurusan Penang FC, ada aura player Penang dalam skuad utama Harimau Malaya,” kata @Farishhh.
“Tahniah! Calon naturalisasi,” kata @mhdyaddd. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram