Tempat ketiga liga tapi malam beremosi untuk Sabah, 2 individu berpengaruh The Rhinos ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Sebahagian momen barisan pemain The Rhinos dan CEO Sabah FC, Marzuki Nasir (lima dari kiri) bagi perlawanan akhir Liga Super 2023 ketika berdepan KDA FC. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC menutup tirai kempen Liga Super 2023 dengan merebut tangga ketiga selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ahad.

Selain beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sang Badak berjaya memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri dengan mencapai keputusan positif iaitu 2-0 sekali gus menundukkan anak-anak buah Nafuzi Zain.

Dalam perlawanan itu, The Rhinos berjaya menundukkan Kedah 2-0 hasil jaringan Irfan Fazail dan Ramon Machado dengan kedua-dua jaringan disempurnakan pada separuh masa pertama perlawanan.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 13.50.52

Sebahagian momen perpisahan Wak Am (empat dari kanan) bersama pihak pengurusan Sabah FC. — Facebook/Sabahfc

Meskipun kenangan manis diciptakan di Stadium Likas, Sabah, namun penyokong setia Sang Badak disajikan dengan berita kurang gembira apabila dua individu penting Sang Badak mengumumkan perpisahan selepas perlawanan terakhir liga tersebut.

Dua watak penting tersebut ialah pemain veteran Liga Malaysia (Liga M), Amri Yahyah yang mengumumkan persaraan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ahmad Marzuki Nasir yang meletakkan jawatan dalam kelab The Rhinos.

Berikutan pengumuman berita kurang gembira itu, rata-rata penyokong Sabah FC meluahkan perasaan sedih dengan kehilangan dua watak penting tersebut.

“Kalau ikutkan hati rakyat Sabah FC tidak setuju kamu tinggalkan Sabah kerana kamu telah membawa perubahan besar buat The Rhinos,” kata Alex Paulus.

“Terima kasih ketua kampung Likas dan CEO Sabah, jasa anda tetap kami kenang, terima kasih untuk keputusan positif musim ini,” kata Ronald John.

“Sedih untuk kami sebagai fans Sabah lepaskan orang penting dalam skuad, terima kasih atas segala pengorbanan dan kerja keras selama ini,” kata Arfian Aniq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram