[VIDEO] Lepas kena kad merah, penjaga gol sorok tepi padang demi tonton aksi secara 'live'


  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

Kiri: Nahuel dilayang kad merah. Kanan: Nahuel dirakam menyorok di tepi padang untuk menyaksikan aksi tersebut secara langsung.

SATU insiden melucukan dirakam dalam aksi Liga Mexico antara dua gergasi negara tersebut, Club America dan Tigres UANL di Estadio Azteca pada awal pagi Isnin.

Tigres yang hadir dengan status pasukan pelawat sedang ketinggalan pada masa tambahan selepas tuan rumah meraih kelebihan menerusi jaringan Julian Quinones.

Jadi, dalam usaha mendapatkan jaringan, mereka memilih untuk melancarkan serangan sehingga menyaksikan penjaga gol, Nahuel Guzman berseorangan.

Gaya permainan Tigres sememangnya satu percaturan cukup berbahaya selepas pemain tengah, Raymundo Fulgencio sudah dibuang padang akibat kekasaran dilakukannya pada minit ke-80.

Keputusan berkenaan jelas membawa padah apabila Club America memiliki peluang melancarkan serangan balas pada minit ke-95 berpunca daripada sepakan sudut.

Menyedari ancaman terhadap gawangnya, Nahuel bertindak meluru keluar daripada kotak penaltinya sendiri untuk menghalang gerakan Quinones dan beberapa rakan sepasukannya.

Tetapi, cubaannya untuk merebut bola tidak berjaya sehingga mendesaknya untuk melakukan kekasaran terhadap pemain sayap itu dalam usaha menyekat golnya daripada dibolosi.

Keputusan tersebut jelas mengundang padah apabila pengadil melayangkan kad merah terhadapnya, sekali gus menyaksikan Tigres terpaksa beraksi dengan sembilan pemain.

Meskipun peraturan mengarahkannya untuk meninggalkan kawasan permainan, Nahuel memilih mengingkarinya dengan bersembunyi di bawah lipatan kanvas yang ditinggalkan di tepi padang.

Tindakan itu dibuat bagi membolehkannya terus menyaksikan perlawanan dan memberi sokongan terhadap rakan sepasukannya dalam aksi cukup getir buat mereka untuk musim terbabit.

Namun, ketiadaannya di atas padang cukup dirasai apabila Tigres dibolosi pada minit ke-104 dan ke-120 yang mengesahkan kekalahan 0-3 kepada mereka.

Nasib malang terus menimpa mereka apabila seorang lagi pemain gantian, Luis Enrique Quinones turut diberikan kad merah yang menyaksikan anak-anak buah Robert Siboldi terpaksa beraksi dengan lapan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram