'Tiada orang boleh buat apa JDT buat kerana hanya ada satu sahaja TMJ'


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

TMJ merupakan pemilik kelab yang membawa perubahan besar buat JDT selepas menjadi pemilik pasukan 10 tahun lalu.

SATU sambutan gilang-gemilang dianjurkan Johor Darul Takzim (JDT) selepas perlawanan terakhir Liga Super mereka menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu lalu.

Keraian yang dihadiri puluhan ribu penyokong itu diadakan selepas pasukan Selatan tanah air berkenaan mencatatkan sejarah menjuarai empat pertandingan semusim buat tahun kedua berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, kejayaan berkenaan dicatatkan dengan amat cemerlang apabila JDT tidak mengalami sebarang kekalahan di samping merekodkan 100 gol Liga Super selepas 26 perlawanan.

Penyokong pastinya memberikan penghargaan terhadap pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris yang cukup bersemangat dalam menaikkan jenama pasukan.

Keputusannya untuk mengambil alih tampuk pemerintahan JDT lebih 10 tahun lalu sememangnya membuahkan hasil apabila mereka mudah 'menyapu bersih' kejohanan peringkat domestik.

410520759_927745592054751_8654247247548856112_n

Sambutan gilang gemilang dianjurkan di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Kebolehan skuad Harimau Selatan juga terserlah di pentas Asia apabila mereka sering memberikan saingan kepada kelab-kelab gergasi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) beberapa musim kebelakangan ini.

Jadi, untuk menegaskan kualiti dan struktur yang dimiliki kelab, TMJ menerusi satu hantaran di Instastory peribadinya tampil menegaskan kejayaan JDT yang sukar ditandingi.

"Daripada penjagaan rumput, falsafah bola sepak, infrastruktur sehingga sambutan, tiada orang boleh buat apa kami buat dalam negara ini atau Asia sebagai sebuah kelab.

"Kejayaan sama-sama mengiringi permodenan dan inovasi, sambutan kita adalah identiti kita mewakili konsep. Inilah JDT, lain dari yang lain," tulisnya pada Isnin.

Majlis keraian JDT pada Sabtu lalu menyaksikan pasukan tersebut menjemput artis antarabangsa, Vegedream, French Montana dan Jabbawockeez serta persembahan bunga api yang cukup meriah.

WhatsApp Image 2023-12-18 at 19.56.19

Kenyataan yang dibuat TMJ di Instastory peribadinya yang menceritakan kelainan JDT.

Sehingga kini, dominasi JDT, terutamanya dalam saingan Liga Super sememangnya sukar dibendung setelah mereka muncul juara pertandingan 10 tahun berturut-turut.

"Kepada keluargaku, terima kasih atas sokongan anda dan kepada musuhku, jangan kau bercemburu dan membenci, tetapi anda semua harus mengagumi kehebatan ini dan hargai sumbangan JDT kepada bola sepak tempatan.

"Ini kerana tidak akan ada lagi kelab macam JDT dalam setiap aspek kerana ada satu sahaja TMJ," katanya lagi.

Penguasaan pasukan di peringkat domestik juga semakin sukar dicabar selepas mereka muncul juara dalam Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih untuk tahun kedua berturut-turut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram