PENYERANG kebangsaan, Faisal Halim menikmati satu musim terbaik dalam saingan Liga Super musim ini apabila muncul penjaring terbanyak dalam kategori pemain tempatan.
12 gol yang dijaringkannya dalam 23 penampilan menyaksikannya terikat dengan pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Sumbangan Faisal itu sememangnya cukup penting dalam membawa skuad Gergasi Merah ke kedudukan kedua Liga Super 2023, sekali gus merealisasikan impian mereka untuk beraksi di pentas Asia musim depan.
Prestasi cemerlang pemain berusia 25 tahun terbabit turut diteruskan ketika dia beraksi bersama Harimau Malaya dengan beberapa gol penting direkodkannya sepanjang tahun.
Jaringan ketika aksi persahabatan bertemu China serta gol minit-minit akhir semasa aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 turut mengharumkan nama penyerang berkenaan.
Faisal mempunyai kualiti tersendiri setiap kali beraksi di peringkat kebangsaan. — Facebook/FAM
Bagaimanapun, kecemerlangannya itu masih belum cukup dihargai sebilangan pengikut bola sepak tanah air apabila masih ada dalam kalangan mereka yang masih mengkritik gaya permainannya.
Cemuhan berkenaan sering diberikan di laman media sosial setiap kali Faisal beraksi dengan beberapa pihak seperti menunggu kesilapan yang dibuatnya.
Namun, perkara itu dilihat tidak melenturkan semangat bekas tonggak Terengganu FC tersebut apabila dia berasakan kata-kata berkenaan hanya akan memberikannya dorongan di atas padang.
"Saya tidak pernah peduli dengan apa yang orang nak kata kepada saya. Saya hari-hari di'troll' daripada satu page tu, semua orang tahu kan?
"Tetapi, saya tidak pernah hairan pun. Lagi awak kata, lagi saya bersemangat untuk bermain buat Selangor," katanya kepada media selepas aksi Liga Super berdepan PDRM FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Faisal enggan ambil 'port' setiap perlian & sindiran terhadap dirinya.
Follow: @makanbolaplus
Tonton video penuh di https://t.co/EGE4hWT8Ns pic.twitter.com/BCCQncqQwb
— MakanBola (@makanbolaplus) December 18, 2023
Pemain bertubuh kecil itu sebelum ini memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah pada awal musim lalu selepas meninggalkan Terengganu FC.
Gandingannya bersama rakan sepasukan Selangor FC menyaksikan pasukan Lembah Klang itu muncul sebagai naib juara Liga Super 2023 dengan 72 gol berjaya dijaringkan mereka sepanjang musim.
Catatan membanggakan Faisal musim ini meletakkannya sebagai calon utama untuk meraih gelaran Pemain Paling Bernilai 2023 dengan Arif Aiman dilihat sebagai pencabar terdekat.
Selain itu, kecemerlangan pemain kelahiran Seberang Perai, Pulau Pinang tersebut turut meletakkannya dalam senarai awal yang bakal beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram