Sabah 'sailang' tempat ketiga daripada KDA, Kuching malukan skuad Jang di Paroi


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Sabah menutup saingan Liga Super 2023 sebagai pasukan ketiga terbaik. — MFL

SABAH FC berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super 2023 apabila memintas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada saat akhir selepas merakam kemenangan 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Ahad.

Gandingan pemain tengah, Irfan Fazail dan penyerang import Ramon Machado menjadi mimpi ngeri pasukan pelawat apabila masing-masing menjaringkan gol di separuh masa pertama untuk membantu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee meraih kemenangan berharga.

Tiga mata dikutip Sang Badak pada aksi terakhir musim ini menyaksikan mereka mengumpul keseluruhan 54 mata di kedudukan ketiga sementara KDA terpaksa berpuas hati menamatkan kempen di tempat keempat dengan 53 mata.

412100130_380765221012134_3452437930352301369_n

Kedah terpaksa berpuas hati menduduki tangga keempat liga. — MFL

Pada masa sama, naib juara Selangor FC mengakhiri musim dengan bergaya apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut selepas mengatasi PDRM FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe selesa mendahului 2-0 pada babak pertama selepas pemain sayap, Faisal Halim menyempurnakan penalti pada minit ke-37 sebelum Brendan Gan menggandakan kedudukan pada minit ke-44.

PDRM merapatkan kedudukan menerusi Fadi Awad yang melepaskan rembatan deras dari jarak dekat pada minit ke-71, namun penyerang gantian Selangor, Richmond Boakye ‘membunuh’ perlawanan selepas meledak gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-88.

412152577_380759577679365_256767223341593012_n

Boakye (tengah) menghasilkan gol ketiga Selangor bertemu PDRM. — MFL

Naib juara merupakan pencapaian memberangsangkan buat Cheng Hoe pada musim penuh pertamanya membimbing Selangor selepas dilantik sebagai ketua jurulatih pada September tahun lepas.

Dalam pada itu, Terengganu FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mudah menundukkan Perak FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Tiga gol skuad Sang Penyu masing-masing dijaringkan Ivan Mamut pada minit ketujuh, Engku Nur Shakir (minit ke-17) dan pemain gantian Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-81.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, Kuching City FC bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan pembukaan Shahrel Fikri untuk memalukan Negeri Sembilan FC di laman sendiri 4-1.

412265281_380753587679964_5873509183784617353_n

Kuching City memalukan Negeri Sembilan di Paroi. — MFL

Episod kebangkitan Kuching City bermula dengan gol penyamaan dijaringkan Bruno Dybal pada minit ke-44 diikuti jaringan Yuki Tanigawa dan Pedro Henrique masing-masing pada minit ke-47 dan minit ke-55 sebelum Dybal menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-73.

Sebagai rekod, Johor Darul Takzim (JDT) muncul juara musim ini yang juga gelaran ke-10 berturut-turut diraih skuad Harimau Selatan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram