TMJ pernah cuba 'selamatkan' Pahang selepas tolak peluang beraksi di Asia


  • Podium
  • Jumaat, 15 Dis 2023

TMJ yang memegang jawatan Presiden FAM selama beberapa tahun sering memberikan input terbaik demi kemajuan bola sepak negara.

MESKIPUN jarang meraih peluang beraksi di pentas Asia, Sri Pahang FC sering memberikan tentangan cukup hebat setiap kali berdepan pasukan terbaik di peringkat benua.

Ia dapat dibuktikan apabila pada 2015, skuad Tok Gajah meraih kemaraan ke peringkat suku akhir sebelum disingkirkan kelab Iran, Istiklol.

Pengalaman tersebut pastinya cukup berharga buat mereka memandangkan ia merupakan kali terakhir pasukan Pantai Timur itu melangkah ke Piala AFC.

Sejak itu, prestasi domestik yang tidak menentu serta keputusan pihak pengurusan untuk tidak memohon lesen AFC membuatkan mereka terus kempunan untuk ke Asia.

Namun, tahukah anda bahawa Pahang FA pernah diberikan peluang kira-kira lima tahun lalu selepas menamatkan saingan Liga Super 2017 di tangga kedua.

afc6.transformed

Skuad Tok Gajah pernah mempamerkan potensi cukup baik di pentas Asia. Agensi

Pasukan yang ketika itu dikendalikan Datuk Dollah Salleh ditawarkan tiket ke Piala AFC selepas pemenang Piala FA, Kedah FA gagal memohon lesen pada masanya.

Skuad mereka juga dilihat mampu memberikan saingan di pentas Asia dengan lambakan pemain berkualiti, seperti Nor Azam Azih, Faisal Halim serta Matt Davies.

Bagaimanapun, Pahang FA memilih untuk menolak peluang diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akibat isu kewangan dihadapi selain bertegas mahu memberikan fokus kepada saingan peringkat domestik.

Keputusan tersebut menyaksikan kelab tersebut hampir dikenakan denda oleh badan induk bola sepak negara berkenaan yang tidak dapat menghantar pasukan lain.

Namun, Presiden FAM ketika itu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris menyuarakan harapan supaya tindakan bakal dikenakan terhadap Pahang FA dapat diringankan.

WhatsApp Image 2023-12-15 at 12.46.55

Pahang FA memiliki skuad cukup berkualiti untuk bersaing di pentas Asia pada 2017.

Selain menasihati supaya pasukan terbabit membuat rayuan, beliau turut menegaskan bahawa skuad Tok Gajah merupakan pasukan yang cukup berpotensi dan berkualiti.

Denda yang dikenakan terhadap pasukan itu bagaimanapun tidak diringankan apabila mereka dihalang untuk memohon lesen AFC selama dua tahun berakhir 2020.

Penggantungan itu juga menyaksikan Johor Darul Takzim (JDT) menjadi satu-satunya wakil negara di pentas Asia pada tahun tersebut, namun kemaraan mereka terhenti di peringkat kumpulan.

Sejak itu, harapan penyokong skuad Tok Gajah untuk menyaksikan mereka beraksi di pentas Asia juga terus kempunan meskipun mereka menjulang Piala FA 2018.

Nasib berkenaan berterusan sehingga hari ini apabila Sri Pahang FC dilaporkan memilih untuk tidak memohon lesen tersebut walaupun ramai pihak mengharapkan yang sebaliknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram