Tonggak Pahang, KL City dan Kedah dalam bahaya, tiket Asia jadi umpan terbaik Selangor FC


  • Podium
  • Khamis, 14 Dis 2023

Selangor FC pastinya berbangga dengan kejayaan menamatkan penantian lapan tahun untuk beraksi di Asia musim depan.

SETELAH hampir lapan tahun, hasrat Selangor FC untuk beraksi di pentas Asia akhirnya tercapai apabila mereka disahkan sebagai naib juara Liga Super 2023.

Meskipun masih terdapat satu perlawanan berbaki, perbezaan lima mata dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang hanya memiliki 53 mata mengesahkan kedudukan skuad Gergasi Merah.

Pencapaian tersebut pastinya diraikan penyokong pasukan Lembah Klang itu selepas kali terakhir beraksi di peringkat benua adalah pada 2016.

Namun, cabaran besar dilihat menanti skuad kendalian Tan Cheng Hoe apabila perubahan format menyaksikan mereka bakal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2.

Pertandingan yang bakal mengumpulkan pasukan seluruh Asia, termasuk dari Jepun dan Korea Selatan itu pastinya akan menjadi satu medan ujian getir buat Selangor FC.

2203047

Selangor FC dikhabarkan sedang berusaha menawarkan kontrak baharu buat Faisal Halim.

Jadi, dalam memastikan mereka lebih bersedia, pihak pengurusan kelab pastinya perlu mempersiapkan pasukan sepanjang jendela perpindahan Liga Super yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Ketika ini, skuad Gergasi Merah tidak dikaitkan dengan mana-mana pemain memandangkan mereka hanya memberikan perhatian untuk menawarkan lanjutan kontrak beberapa tonggak pasukan, seperti Faisal Halim dan Ayron del Valle.

Bagaimanapun, ia dilihat masih belum cukup untuk meningkatkan kualiti skuad apabila mereka perlu membawa masuk pemain di beberapa posisi penting.

Tetapi, melihat kepada pengalaman lalu, adalah lebih baik sekiranya Selangor FC mendapatkan khidmat bintang dalam Liga Super yang sudah terdedah dengan arena bola sepak tanah air.

Berdasarkan pemerhatian musim ini, terdapat tiga pemain yang perlu disambar skuad Gergasi Merah dalam misi menambah baik persembahan mereka dalam saingan ACL 2 pada edisi akan datang.

1. Nor Azam Azih

Baru-baru ini, pemain tengah Sri Pahang FC, Nor Azam Azih dikhabarkan bersedia untuk meninggalkan kelab Pantai Timur tersebut selepas lapan tahun.

Ura-ura terbabit timbul selepas jeneral berusia 28 tahun berkenaan memadam kesemua hantaran di Instagram peribadinya berkaitan karier bola sepaknya.

Jadi, sekiranya bekas tonggak skuad kebangsaan itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya bersama skuad Tok Gajah, Selangor FC perlu segera mengambil peluang.

406539165_18402405787031124_5593700574927788046_n

Kehadiran Azam (kiri) mampu membawa kelainan buat bahagian tengah skuad Gergasi Merah. Facebook/Sri Pahang FC

Meskipun Azam bergelut dengan isu kecederaan beberapa musim kebelakangan ini, kebolehannya masih tidak boleh dipandang rendah pasukan Lembah Klang itu.

Kualiti hantarannya, kebolehan untuk membaca permainan dan rembatan deras merupakan tiga kelebihan utama pemain itu seperti mana dapat disaksikan buat beberapa tahun.

Selain itu, pengalaman Azam yang pernah beraksi di bawah kendalian Cheng Hoe dalam Harimau Malaya menjadi kelebihan untuknya menyesuaikan diri.

Sekiranya Azam sah menyertai skuad Gergasi Merah, dia pastinya akan diberikan peluang bergandingan dengan tonggak Selangor FC, seperti Alex Agyarkwa atau Brendan Gan.

2. Manuel Hidalgo

Khabar angin mengaitkan Selangor FC dengan pemain sayap dari Argentina, Manuel Hidalgo bukanlah sesuatu yang baharu apabila ia mula bertiup sejak awal musim lagi.

Penyerang yang pernah beraksi bersama skuad Tok Gajah itu memiliki kualiti cukup tersendiri untuk meletakkannya sebagai salah seorang penyerang import terbaik.

Jadi, dengan Selangor FC sudah mengesahkan slot ke pentas Asia musim depan, mereka pastinya mampu mendapatkan khidmat Hidalgo selepas bermusim-musim memasang hasrat tersebut.

2328184

Hidalgo sudah bertahun-tahun dikaitkan dengan Selangor FC. Facebook/KDA FC

Gandingan pemain berusia 24 tahun itu dengan Faisal Halim pastinya cukup digeruni, baik di peringkat domestik mahupun ketika mereka beraksi dalam ACL 2 kelak.

Bagaimanapun, usaha itu pastinya tidak mudah apabila Hidalgo dikhabarkan masih terikat dengan KDA FC sehingga 2025, sekali gus mendesak Selangor FC untuk membuat penebusan kontrak.

Selain itu, pemain bertubuh kecil tersebut juga dilaporkan dikehendaki juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang pastinya sukar ditolak Hidalgo jika mereka membuat tawaran.

Tetapi, sekiranya Selangor FC dapat menyambar khidmat penyerang berkenaan, gandingannya dengan Faisal pastinya cukup menarik untuk disaksikan.

3. Giancarlo Gallifuoco

Meskipun memiliki rekod pertahanan kedua terbaik dalam Liga Super, struktur pertahanan skuad Gergasi Merah masih boleh dianggap goyah ketika ini.

Kekalahan 0-4 sebanyak dua kali kepada JDT dalam liga dan Piala FA menjadi bukti bahawa Selangor FC masih perlu menambah baik aspek berkenaan.

Jadi, dalam mengukuhkan lagi barisan pertahanan mereka, seorang pemain baharu perlu dibawa masuk dengan bek tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco merupakan calon terbaik.

399285391_18239752525237328_5368445625060920341_n

Kehadiran Giancarlo mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan Selangor FC. Facebook/Kuala Lumpur City

Pemain tinggi lampai itu mencuri nama ketika membantu skuad Warga Kota menjuarai Piala Malaysia 2021 semasa tahun debutnya dalam arena bola sepak tempatan.

Meskipun pemain kelahiran Australia itu dilihat berminat untuk kekal bersama KL City FC, isu pengurusan dialami mereka mampu membuka ruang buat skuad Gergasi Merah mendapatkan khidmatnya.

Kebolehannya untuk berkomunikasi dengan baik di samping rakan sepasukan merupakan salah satu perkara yang mampu dimanfaatkan skuad Cheng Hoe di pentas Asia.

Selain itu, pengalaman Giancarlo dalam saingan Piala AFC musim lalu pastinya akan membolehkannya membentuk gandingan kukuh di samping bek tengah Selangor FC, seperti Safuwan Baharudin dan Shahrul Nazeem Zulpakar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram